SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, kita digemparkan dengan berita kematian mengejut dua pelajar universiti awam (UA) akibat tekanan belajar.
Pada saat negara berdepan kes positif Covid-19 yang meningkat saban hari di samping masalah ekonomi yang menekan rakyat, kita telah terlepas pandang akan masalah yang dihadapi oleh golongan mahasiswa.
Ramai pihak menuding jari menyalahkan pensyarah kerana memberikan tugasan yang terlampau banyak sehingga membebankan mahasiswa.
Tidak kurang juga segelintir mahasiswa yang memuat naik hantaran dalam media sosial meluahkan ketidakpuasan hati dan rasa kurang hormat terhadap pensyarah.
Terdapat juga yang mempertikaikan sistem atau silibus pengajian di UA yang dianggap sudah tidak relevan diamalkan pada saat pandemik yang serba mencabar ini.
Dalam pada itu, terdapat pula cadangan diwujudkan tempoh cuti bertenang semasa semester berlangsung.
Ini bermaksud mahasiswa tidak perlu menghadiri sebarang kuliah, membuat penghantaran tugasan dan ujian sepanjang tempoh tersebut.
Namun, perkara ini tidak sewenang-wenangnya dapat dilaksanakan kerana harus melibatkan penelitian mendalam daripada pelbagai pihak bagi memastikan ia relevan.
Pembelajaran dalam talian yang telah menjadi norma baharu banyak memberi impak kepada seluruh warga pendidik dan para pelajar bukan sahaja di UA malah di segenap peringkat pengajian.
Dengan pelaksanaan dimensi baharu ini, UA dapat meneruskan proses penyampaian ilmu bagi setiap semester untuk memastikan mahasiswa memenuhi kehendak pelan pengajian dan seterusnya mencapai objektif utama iaitu menjadi graduan dalam tempoh ditetapkan.
Hal ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari No. 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada para pelajar.
Namun, tidak dinafikan kes kematian mengejut terbabit telah membuka mata banyak pihak akan tekanan yang dihadapi golongan mahasiswa.
Pensyarah perlu lebih cakna tentang tahap mental para mahasiswa.
Perkara berkaitan penangguhan bayaran yuran, faktor kewangan dan tempoh akhir penghantaran tugasan perlu diberi pertimbangan agar tidak menjadi sebab kepada masalah tekanan melampau ini.
Para pensyarah perlu mencari jalan penyelesaian sewajarnya kepada masalah yang timbul agar tidak berlarutan. Pada waktu sama, unit kaunseling dan hal ehwal pelajar perlu lebih peka serta bersiap siaga membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan diperlukan.
Kebolehcapaian unit kaunseling perlu lebih efisien supaya dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam menangani masalah ini.
Kepada mahasiswa pula, mereka perlu pandai menguruskan masa. Ini kerana pensyarah telah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh penting penilaian, bilangan tugasan dan tempoh akhir penghantaran tugasan pada awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.
Mahasiswa perlu lebih berdisiplin dalam mematuhi tempoh ditetapkan bagi mengelak tugasan dibuat pada saat akhir. Mereka harus sedar tanggungjawab sebagai mahasiswa yang perlu mengikuti dan menghabiskan pengajian seperti ditawarkan sebelum pandemik melanda.
Akhir kalam kepada mahasiswa, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Semoga segala kepahitan yang ditempuhi sekarang, bakal membuahkan kemanisan pada masa hadapan.
DURATUL AIN THOLIBON, UiTM Cawangan Pahang.