Ramai rakyat 'pakar' cari kelemahan kerajaan - Utusan Malaysia

Ramai rakyat ‘pakar’ cari kelemahan kerajaan

POLIS perlu melakukan pemeriksaan di plaza tol bagi mengelak aktiviti rentas negeri. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 20 Julai lalu, buat kali kedua berturut-turut, umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa, maka banyak aktiviti dilarang diadakan bagi membendung penularan wabak tersebut termasuk tegahan rentas negeri dan kunjung-mengunjungi.

Namun, negara terus gempar dengan gambar-gambar tular dalam media sosial dan laporan dalam media arus perdana yang menunjukkan kesesakan lalu lintas di plaza tol tertentu khususnya yang menuju ke Pantai Timur menjelang perayaan tersebut.

Saya berani menyatakan, ramai dalam kalangan pengguna terbabit adalah mereka yang melanggar larangan rentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman.

Pihak polis sudah pun memberi amaran tegas bahawa surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang digunakan untuk ‘menghalalkan’ rentas negeri tidak diterima kali ini dan mereka yang melanggar arahan akan dikompaun.

Kita perlu akui, dalam kalangan rakyat, memang ramai yang ‘pakar’ dalam mencari kelemahan apa juga peraturan dan menyalah guna kelebihan untuk kepentingan diri.

Atas alasan ‘kecemasan’, sudah tentu ramai memohon kebenaran polis, tetapi tujuan sebenarnya adalah mahu merentas negeri untuk bersama ahli keluarga di kampung.

Dalam hal ini, tidakkah mereka yang berbuat demikian berasa malu terhadap diri sendiri dan orang lain?

Apakah kita masih tidak insaf dengan kes Covid-19 yang naik mendadak selepas Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai lepas? Adakah mereka lupa Covid-19 masih berada dalam komuniti, masih mengancam negara dan nyawa kita dengan kes jangkitan dan kematian meningkat mendadak dalam jumlah sangat menakutkan?

Adakah mereka yang ingkar arahan, bertindak merentas negeri semata-mata untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung atau apa juga alasan selepas ini mahu situasi peningkatan kes berterusan?

Saya juga percaya, dalam ramai yang ingkar arahan rentas negeri, pasti ada terselit dalam kalangan mereka yang mengkritik kerajaan dengan dakwaan gagal mengawal penularan wabak berbahaya berkenaan.

Pasti mereka juga tidak henti-henti berkongsi tanda pagar #KerajaanGagal dalam media sosial dan menuduh kerajaan bersikap pilih kasih dalam situasi yang dirujuk mereka sebagai kes ‘kayangan’ atau apabila ada orang kenamaan atau selebriti melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Saya akui, terdapat ruang untuk kerajaan memperbaiki usaha menangani wabak ini. Tetapi seperti kata pepatah Inggeris, two wrongs don’t make a right atau jika seseorang itu melakukan kesalahan, kita tidak wajar menggunakannya sebagai alasan untuk turut melakukan kesalahan sama kerana ia akan hanya memburukkan keadaan.

Di sinilah kematangan umat Islam dituntut supaya menghayati hikmah di sebalik segala sekatan yang dikuatkuasakan dalam kita merayakan hari raya korban ini.

Hari Raya Aidiladha menuntut kita menginsafi semangat keimanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail demi Allah SWT.

Sempena Hari Raya Aidiladha yang baru berlalu, seeloknya umat Islam mendalami prinsip pengorbanan dalam mengekang penularan Covid-19 dan bermuhasabah diri bagi menjauhi dari bertindak mengikut nafsu atau hanya tahu mengkritik pihak-pihak tertentu.

ABDUL HAKIM DAHLAN, Desa Jaya, Kepong, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya