Platform terbaik bincang krisis perubahan iklim - Utusan Malaysia

Platform terbaik bincang krisis perubahan iklim

Ancaman biodiversiti semakin menjadi-jadi disebabkan peningkatan aktiviti manusia, pencemaran dan perubahan iklim yang menekan ekosistem dan persekitaran di benua Antartika. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benua Antartika telah lama wujud di dunia ini dan terdapat desas-desus mengatakan pelaut Polinesia merupakan orang yang pertama tiba di situ sebelum penjelajah Barat menemui benua beku itu. 

Kewujudan benua kurniaan Allah S.W.T yang unik dan terbentang luas ini merupakan benua kelima terbesar selepas benua Asia, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Hampir 90 peratus daripada ais bumi boleh didapati di Antartika dan hanya lebih kurang 0.34 peratus daripada kawasan benua itu tidak diliputi salji. 

Benua tersebut menjadi igauan buat beberapa negara untuk memilikinya kerana terdapat pelbagai khazanah dan sumber alam yang jarang ada di mana-mana tempat di dunia ini. Sehingga ke hari ini, tidak ada satu pun negara yang boleh mengatakan benua tersebut adalah hak mereka. 

Benua Antartika merupakan satu-satunya benua yang tidak mempunyai kerajaan. Yang ada hanyalah beberapa negara yang cuba membuat tuntutan wilayah dan kedaulatan ke atas kawasan tersebut, namun kesahihan tuntutan tersebut masih lagi samar. Pada 1961, terdapat beberapa negara membentuk Antarctic Treaty System (ATS) untuk menguruskan benua yang kaya dengan biodiversiti itu. 

Walaupun benua ini secara geografinya terletak jauh dari benua penempatan manusia, ia tidak terlepas daripada terpalit dek isu ancaman biodiversiti. Malah, ancaman tersebut semakin menjadi-jadi disebabkan oleh berlakunya peningkatan dalam aktiviti manusia, pencemaran dan perubahan iklim yang menekan ekosistem dan persekitaran di benua tersebut. 

Baik negara maju mahupun sedang membangun, kedua-dua negara ini tidak ketinggalan dalam meraih manfaat dari kawasan tersebut. Malaysia yang beriklim tropika juga tidak mahu ketinggalan dalam percubaan untuk mendapatkan manfaat daripada kawasan tersebut terutamanya dari segi penyelidikan sains dan teknologi.  

Kawasan yang beriklim sejuk beku dan kaya dengan flora dan fauna begitu sesuai dijadikan sebagai medan penerokaan sains dan teknologi, dengan kira-kira 40 negara mendirikan pangkalan penyelidikan, yang dikawal selia oleh ATS.

Ramai saintis Malaysia pergi ke sana untuk membuat kajian dan membawa pulang sampel-sampel kajian ke tanah air untuk dijadikan bahan eksperimen. Skop dan jenis kajian yang dijalankan saintis dari Malaysia begitu luas termasuklah berkaitan kulat polar, fenomena dan jenis kilat di Antartika dan banyak lagi. Namun, sudah pasti ramai saintis negara ke sana untuk mengkaji keadaan perubahan iklim yang berlaku kerana kadar pemanasan di wilayah tersebut adalah lebih tinggi jika dibandingkan kawasan-kawasan lain di dunia.

Pencairan ais di Antartika akan menyebabkan peningkatan pada paras air laut yang boleh mencemaskan Malaysia. Para saintis turut memberi amaran bahawa paras laut dijangka meningkat sebanyak 1.3 meter menjelang 2100 seandainya suhu permukaan bumi mencecah 3.5 darjah Celsius.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan rekod baharu suhu tinggi di benua Antartika iaitu dengan bacaan 18.3 darjah Celsius. Semenanjung Antartika menjadi satu daripada wilayah yang berdepan dengan pemanasan global paling tinggi di dunia iaitu peningkatan hampir tiga darjah Celsius dalam tempoh lebih 50 tahun. 

Usaha ke arah mengawal isu pemanasan global memerlukan sokongan dari semua negara. Usaha itu selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang ke-13 di mana semua negara digesa untuk mengambil tindakan segera dalam menangani isu pemanasan global dengan menurunkan kandungan gas rumah hijau dalam atmosfera. 

Pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan lestari berkonsepkan bandar pintar dan bandar raya bebas karbon.

Selain itu, kerjasama daripada kementerian, agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga perlu diperhebatkan demi menjadikan isu Antartika sebagai isu yang dekat dihati semua rakyat. 

Perbincangan mengenai isu Antartika menerusi seminar dan konferensi seperti mana yang bakal diadakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan National Antarctic Research Centre (NARC) Malaysia sememangnya dinanti-nantikan bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan benua beku itu. 

Seminar the 9th Malaysian International Seminar on Artarctica yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober ini merupakan platform terbaik buat para penyelidik, akademik, dan orang awam untuk berdiskusi mengenai cabaran semasa benua Antartika, terutamanya berkaitan krisis iklim. Selain para akademik, orang awam perlu hadir ke seminar tersebut kerana pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar turut dipengaruhi oleh setakat mana rakyat peka dan cakna mengenainya. 

Usaha yang dijalankan oleh universiti awam seperti UiTM ini menunjukkan  skop peranan IPT berada pada skala yang luas dan tidak tertakluk kepada kemenjadian para graduan semata-mata. Ia juga mencerminkan universiti yang ada pada hari ini berperanan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat seterusnya menjadi agen perubahan dalam pembangunan negara. 

Pembentangan hasil kajian yang berkualiti dan terkini mengenai benua Antartika itu diharapkan dapat membantu kerajaan dalam memperhebatkan lagi pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim sedia ada. Dasar ini telah dan akan dijadikan panduan buat kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan untuk menyuntik elemen pembangunan lestari dalam setiap aktiviti yang dijalankan. 

Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya