SAUDARA PENGARANG,
AKTA Kerja 1955 yang merangkumi 11 perkara berkait perlindungan hak wanita jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan wanita dalam sektor pekerjaan.
Namun, timbul beberapa persoalan terutama dalam kalangan pakar bidang sumber manusia sama ada pendekatan bekerja secara hibrid akan memihak kepada golongan pekerja wanita jika diperhalusi dari perspektif mata burung.
Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan wanita khususnya golongan ibu perlu membuat pelbagai tugasan di rumah seperti memantau kelas dalam talian anak, membasuh, melayan ragam anak kecil, memasak dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab sebagai pekerja.
Maka, bekerja dari rumah memberikan keseimbangan kerja dan kehidupan atau work – life balance kepada mereka ketika ini.
Penetapan dasar bekerja sememangnya memerlukan perbincangan oleh semua pihak terlibat merangkumi pelbagai perspektif termasuk gender.
Majikan perlu mengambil maklum setiap pandangan pekerja berkenaan budaya dan pendekatan bekerja yang lebih bersesuaian dengan situasi semasa mereka.
Seterusnya tumpuan harus diberikan kepada pencapaian hasil sebelum menilai adakah pendekatan bekerja secara hibrid dapat membantu di dalam proses pencapaian tersebut.
Selain itu, majikan juga perlu mendapatkan maklum balas bagi mengukur pengaruh bekerja di rumah dan bekerja di pejabat melibatkan latar belakang demografi pekerja yang lebih luas termasuk aspek generasi pekerja yang berbeza di dalam sesebuah organisasi.
Bgaimanapun, dengan adanya inisiatif bekerja secara hibrid oleh kerajaan melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan pihak swasta sejak akhir-akhir ini, Malaysia sememangnya berada di landasan yang terbaik untuk pergi lebih jauh dalam amalan bekerja secara hibrid dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.
Dengan adanya universiti awam yang memberi tumpuan kepada penyelidikan wanita dan gender sejak 1970, langkah seterusnya adalah memperkasakan sumbangan wanita yang bekerja di rumah dalam suasana pandemik yang sangat menguji mental dan emosi.
Justeru, sokongan kerajaan dan majikan dalam mengarusperdanakan kajian wanita dan gender amat signifikan bagi memastikan model bekerja secara hibrid bukan sekadar memberikan ruang fleksibiliti tetapi peluang sama rata melalui fungsi kesaksamaan gender.
MUHAMMAD AIMAN ARIFIN, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Arau, Perlis.