Pengisian bakul makanan lebih sejahtera - Utusan Malaysia

Pengisian bakul makanan lebih sejahtera

RATNA ROSHIDA AB. RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada siapa menduga, tahun ini rakyat terus berada dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin serius. Tanda-tanda pandemik akan hilang masih belum lagi menampakkan cahayanya. Pelbagai inisiatif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) merangkumi tiga fasa dilakukan oleh  kerajaan untuk membantu mereka yang terkesan. Pada 15 Julai lalu,  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program Bakul Prihatin Negara yang merupakan pemberian bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung, bihun, kicap, sardin, biskut dan kopi. Setiap keluarga  yang terjejas layak untuk memohon inisiatif bantuan ini. Ternyata kerajaan begitu serius berusaha untuk memastikan dalam situasi yang agak getir seperti ini, kesejahteraan rakyat terus dijaga.  

Bagaimanapun, untuk memastikan kesejahteraan berjaya dicapai, menjadi keperluan untuk kita kembali melihat, apakah hak kesemua komponen kejadian kita sebagai manusia telah dijaga dengan baik dan diberi makanan yang sepatutnya? Hal ini cukup penting terutama dalam situasi perit sekarang yang menuntut kita agar lebih menjaga diri kita, menyayangi diri sendiri, melakukan sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri, dalam konteks yang positif dan tidak dari sudut negatif. Untuk tujuan ini, keseimbangan amat diperlukan. Apa yang perlu diseimbangkan dalam konteks manusia, sudah pastilah ketiga-tiga komponennya iaitu fizikal (jasad atau badan), intelektual (minda atau mental) dan spiritual (rohani atau dalaman).

Komponen fizikal meliputi tubuh badan yang terdapat padanya semua organ bersifat fizikal, sama ada yang berada di luar seperti kaki, tangan mata, mulut, telinga atau yang berada di dalam badan seperti jantung, buah pinggang, hati. Ternyata sumbangan Bakul Prihatin Negara banyak membantu menyediakan makanan untuk komponen ini dengan membekalkan tenaga bagi meneruskan kelangsungan kehidupan. Mengikut teori hierarki Maslow, keperluan untuk memenuhi aspek ini cukup penting kerana ia merupakan asas utama kepada setiap individu. Sekiranya keperluan asas ini tidak dipenuhi, agak sukar untuk seseorang bergerak kepada peringkat kehidupan seterusnya.  

Namun, akan timbul persoalan, bagaimana pula dengan makanan untuk komponen intelektual yang merupakan komponen yang padanya ada organ utama iaitu otak? Otak atau minda perlu diberi makan dan makanannya ialah ilmu. Suasana yang getir hari ini benar-benar menuntut kita untuk memiliki ilmu tentang bagaimana berdepan dengan naik turun jiwa anak-anak, khususnya mereka di peringkat remaja yang sepatutnya perlu untuk berada dalam kalangan kawana-kawan sebaya yang biasa berlaku ketika suasana pembelajaran di sekolah. Namun, suasana itu tiada lagi dan telah berubah kepada pembelajaran di rumah. Suasana ini memberi kesan kepada kesihatan mental anak-anak di semua peringkat, juga kepada ibu bapa itu sendiri. Justeru, tidak dapat tidak, ibu bapa terutamanya perlu memiliki ilmu untuk menyantuni anak-anak mereka. Kegagalan kita sebagai ibu bapa berdepan situasi sebegini dek kerana kecetekan ilmu yang ada, mampu mengundang bahaya, bukan sahaja kepada anak-anak, malah kepada ibu bapa itu sendiri. Bukan itu sahaja, kita juga perlu ada pengetahuan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan kehidupan kerana kita tidak pasti bilakah musibah ini akan berakhir. Dengan kata lain, ilmu yang bertindak sebagai panduan atau cahaya amat diperlukan dalam suasana seperti ini agar tulang empat kerat terus dapat digunakan.

Komponen seterusnya iaitu spiritual, komponen terpenting untuk memastikan fizikal dan intelektual dapat berfungsi dengan sejahtera. Organ yang terdapat di dalam ini tidak mampu untuk dilihat dengan mata kasar, namun ia mampu menentukan baik dan buruk tindakan atau perbuatan yang dilakukan, iaitu organ yang dikenali sebagai hati (qalbu). Pada hati ini adanya roh, yang sifatnya kekal dan tidak akan mati, dan sering bekerjasama dengan akal. Kesemua organ ini disebut sebagai jiwa. Kegagalan organ dalam komponen spiritual berfungsi dengan baik melalui bekalan makanan yang sepatutnya diperolehnya boleh menyebabkan manusia diserang sakit jiwa atau hilang pegangan dan perhitungan sehingga membuat sesuatu keputusan diluar pertimbangan akal yang waras. 

Bagaimana pula dengan makanan rohani atau spiritual? Jawapannya ialah apa jua yang menghubungkan seseorang dengan Tuhannya dan dalam konteks ajaran Islam, sudah tentulah perbuatan seperti solat, puasa, berzikir, membaca al-Quran, bersedekah. Apabila rohani atau spiritual sihat dengan pemakanan yang betul, maka akan terhasil sebuah hati yang sihat (saleem). Dengan hati yang sihat ini, seseorang itu mampu untuk memahami makna, tujuan dan nilai kehidupan dan berupaya untuk menghadapi musibah dengan tenang dan berlapang dada. Mereka dapat memahami tentang apa yang dinyatakan Tuhannya dalam surah al-Baqarah: 155 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” Mereka juga mampu memperoleh kekuatan untuk terus melangkah dan meletakkan segala pengharapan dan kebergantungan kepada Tuhan. 

Pada masa sama, dia terus berusaha melakukan apa yang sepatutnya kerana memahami datangnya ujiannya dari Tuhan dan kepada Tuhan jua diharapkan jalan penyelesaian. Firman Allah dalam surah al-Hadid: 22 yang bermaksud: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” 

Kesimpulannya, pengisian makanan seharusnya lebih bersifat holistik demi memastikan kesejahteraan rakyat mampu dicapai. Di sinilah letaknya peranan semua pihak seperti ahli akademik, ahli korporat untuk sama-sama mara memberi bantuan demi memastikan setiap individu dapat berlaku adil kepada diri sendiri dengan memberi makanan yang sepatutnya kepada ketiga-tiga komponen kejadiannya. Sebagai umat Islam, inilah ruang untuk bertanyakan kepada diri sendiri, adakah tragedi pandemik ini berjaya membawa diri kita untuk berubah dan menjadi individu yang lebih baik dan lebih sejahtera, yang sentiasa berlaku adil dalam memberi keseimbangan kepada diri sendiri melalui tiga komponen yang dimiliki tanpa hanya memikirkan untuk menjaga fizikal semata-mata sehingga menjadikan komponen lain meronta-ronta kelaparan?

PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya