SAUDARA PENGARANG,
PADA masa ini, penerima pencen di bawah RM4,000 menerima kenaikan pencen sebanyak dua peratus setahun. Nilai itu amat kecil berbanding peningkatan kos sara hidup sehingga menghimpit kehidupan mereka.
Pesara yang menerima pencen RM2,000 pula menerima kenaikan antara RM40 hingga RM80 setahun selama 15 tahun. Bayangkanlah, bagaimana kehidupan mereka yang menerima pencen yang tidak sampai RM1,000 dengan kenaikan dua peratus setahun? Perlu diingat, sekiranya kerajaan masih mengamalkan dasar satu kadar kenaikan pencen, akan berlaku jurang perbezaan yang meluas antara penerima pencen pada masa hadapan.
Ekoran pandemik Covid-19, kebanyakan pesara sudah hilang pekerjaan sambilan dan terpaksa bergantung kepada pencen untuk meneruskan kelangsungan hidup serta menyara keluarga.
Tiba masanya kerajaan memandang serius isu ini dan mengambil berat luahan rasa golongan ini. Dicadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan dasar dua kadar kenaikan pencen tahunan. Bagi penerima pencen di bawah RM4,000, dicadangkan kadar kenaikan pencen dinaikkan kepada empat peratus setahun manakala kenaikan kadar pencen bagi penerima pencen melebihi RM4,000 adalah terpulang kepada budi bicara JPA.
Perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan pesara yang menerima pencen di bawah RM4,000 kerana mereka sangat terjejas dari segi ekonomi kebelakangan ini. Langkah ini dapat memberi sedikit kelegaan dan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pesara dalam golongan ini selama ini.
MAZLAN SAID @ KASSIM SELAMAT, Batu Caves, Selangor.