Membina semula Gaza pasca gencatan senjata - Utusan Malaysia

Membina semula Gaza pasca gencatan senjata

ERMY AZZIATY ROZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam situasi umat Islam menyempurnakan ibadah puasa dan membuat persiapan menyambut Syawal, regim Zionis menyerang Semenanjung Gaza selama 11 hari tanpa henti.

Akhirnya Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada pagi 21 Mei lalu. Pengumuman tersebut dibuat oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menamakan langkah tersebut sebagai ‘sepakat dan tanpa syarat’.

Hamas dan penduduk Palestin melihat gencatan senjata itu sebagai simbolik kejayaan perjuangan mereka dalam tempoh beberapa dekad terhadap penindasan rejim Israel di Gaza dan Tebing Barat. Namun begitu, gencatan senjata tersebut tidak menjamin keamanan jangka panjang, apatah lagi Israel yang sememangnya terkenal dengan sikap melanggar pelan perjanjian damai dan juga undang-undang antarabangsa.  

Melihat kepada retorik Israel setiap kali pasca gencatan senjata, dunia Islam seharusnya memberi perhatian dan tumpuan kepada pembinaan semula Gaza dan Palestin umumnya. 

Statistik menunjukkan dalam konflik dan serangan terbaru ini, 253 penduduk Palestin terbunuh termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 warga emas, manakala 1,948 lain cedera termasuk 20 dalam keadaan kritikal. 

Dari segi kemusnahan pula yang telah dikenal pasti adalah sebanyak 156 buah bangunan musnah, 725 rumah mengalami kerosakan yang mengakibatkan 72,000 orang menjadi pelarian manakala 250,000 orang terputus bekalan air. Situasi dan keadaan ini menuntut kepada usaha membangun dan membina semula Gaza merupakan fokus yang paling utama.

Dari sudut sokongan serta bantuan kemanusiaan yang diberikan, ia boleh diklasifikasikan kepada berapa segmen dan tulisan ini melihat kepada peranan yang dimainkan oleh beberapa pihak, iaitu daripada badan bertanggungjawab di peringkat antarabangsa, negara-negara luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini. 

Sehubungan itu, dana bantuan kecemasan pusat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun memperuntukkan sejumlah AS$18.5 juta (RM76.6 juta) untuk misi dan bantuan kemanusiaan. 

Bagi memenuhi keperluan yang begitu mendesak seperti bekalan perubatan, air dan tenaga, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) turut memainkan peranan dalam membantu membina semula kehidupan rakyat Palestin. Suhair Zakkout yang merupakan jurucakap ICRC menjelaskan, kerjasama diadakan dengan pihak berkuasa tempatan di Gaza untuk membangun infrastruktur asas termasuk memulihkan bekalan air dan elektrik.

Dalam konteks Malaysia, kita menyokong inisiatif sejagat bagi pembinaan semula Gaza berikutan gencatan senjata. Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, usaha itu termasuk menubuhkan semula makmal ujian Covid-19 yang musnah dibedil tentera Zionis. 

Jiran terdekat Palestin iaitu Mesir turut bersama-sama dalam agenda ini.  Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan dana berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion) diperuntukkan bagi membantu usaha membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel selain bantuan perubatan berjumlah 65 tan dan 26 lori membawa bekalan makanan dan 50 ambulans.

Melihat kepada Turki iaitu negara yang tegas bersuara dalam membela rakyat Palestin, mendesak Israel untuk berhenti memperluaskan penempatan haram di Timur Baitulmuqaddis dan mengutuk serangan dan serbuan yang dilakukan oleh tentera Zionis di Masjid al-Aqsa. Turki turut bersiap sedia memberikan segala bantuan kepada Palestin bagi memastikan pilihan raya Palestin berjalan dengan baik dan mengikut piawaian antarabangsa. 

Meninjau kepada peranan yang dimainkan oleh NGO di negara ini, Aman Palestin berjaya mengumpulkan RM10 juta melalui Tabung Bantuan Kecemasan al-Aqsa. 

Aman Palestin menggariskan tiga perkara utama dalam misi bantuan kemanusiaan itu. Pertama, bantuan akan memfokuskan usaha memperbaiki rumah yang rosak akibat serangan. Kedua, saluran bantuan perubatan untuk mangsa perang sama ada di Gaza dan Tebing dan yang terakhir adalah menyalurkan keperluan perubatan ke hospital utama di Palestin.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tidak ketinggalan terlibat dalam usaha ini melalui gerakan Aid4Palestine.

Sebaik sahaja kutipan mencecah RM1 juta dalam tempoh 24 jam, Aid4Palestine menyalurkan bantuan awal berjumlah RM500,000 pada 22 Mei lalu dalam bentuk keperluan makanan dan perubatan untuk diagihkan kepada penduduk Gaza yang berlindung akibat diserang.

Dengan kutipan Fasa 1 mencecah RM16.8 juta, Aid4Palestine  memperuntukkan RM4 juta bagi tujuan keperluan segera kepada penduduk yang pulang ke rumah dari tempat perlindungan, manakala peruntukan segera disalurkan bagi tujuan keperluan jangka pendek dan bantuan tunai bagi membantu kelangsungan hidup penduduk Gaza dalam bentuk kebajikan, kesihatan, kediaman dan pendidikan.

Selain itu, rasa kebersamaan dan sokongan rakyat Malaysia jelas terzahir apabila sebanyak RM17.8 juta dana berjaya dikumpul oleh pelbagai NGO, selebriti dan ikon kemanusiaan yang membentuk MyAqsa Defenders (MAD). 

Hasil sumbangan itu akan digunakan secara berperingkat untuk disalurkan kepada klinik Malaysia-Al Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitulmuqaddis dan bantuan kecemasan Gaza. 

Kempen mengumpul dana daripada ahli gabungan NGO ini dijalankan sejak hari pertama serangan Israel. Hasilnya jelas menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin. MAD menggabungkan 20 NGO antaranya Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Iman Care. 

Kolaborasi ini turut mendapat sokongan dan disertai 23 selebriti dan ikon kemanusiaan antaranya Heliza Helmi, MizzNina, Noh Salleh, Faizal Tahir, dan Fedtri Yahya. 

Selain kutipan dana, MAD mengaktifkan pelbagai bentuk kempen kesedaran dan advokasi di seluruh negara bahkan dunia. Konflik dan peperangan di Palestin baru-baru ini meruntun hati dan emosi masyarakat dunia melihat kekejaman yang berlaku, namun ia ternyata  mencetuskan solidariti umat Islam dan dunia. 

Profesor Madya Dr. Ermy Azziaty Rozali ialah Felow Bersekutu Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Panel Karya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN