Lulusan perladangan penuhi kekosongan tenaga kerja asing sewaktu pandemik - Utusan Malaysia

Lulusan perladangan penuhi kekosongan tenaga kerja asing sewaktu pandemik

PELAJAR-PELAJAR UPM memunggah kelapa sawit ketika menjalani latihan perladangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri perladangan dan komoditi merupakan salah satu sektor ekonomi terbesar dalam menyumbang kepada pendapatan negara. Tambahan pula, harga minyak kelapa sawit ketika ini berada pada paras tinggi. Selain untuk kegunaan tempatan, negara kita mengeksport minyak kelapa sawit ke negara-negara yang mempunyai penduduk terbesar di dunia khususnya China dan India. 

Permintaan tinggi ini perlu dipenuhi dari semasa ke semasa. Namun begitu, kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan yang pada kebiasaanya didominasi oleh warga asing amat dirasai oleh syarikat-syarikat perladangan. Kemasukan pekerja asing pula terbatas disebabkan pandemik Covid-19 sejak 2020.

Bukan semua kerja di ladang kelapa sawit boleh diselesaikan menggunakan dron. Penggunaan mesin dan traktor tetap memerlukan tenaga kerja yang mahir. Selain itu, proses penuaian, pengumpulan, pemunggahan dan pemprosesan kelapa sawit masih memerlukan tenaga kerja manusia dan sedikit sebanyak menjejaskan penghasilan minyak mentah kelapa sawit.

Menyedari kepentingan membentuk bakal pengurus ladang yang mempunyai pengetahuan sains serta pengurusan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan Program Bacelor Sains Pengurusan Perladangan sejak 2015 dan kini sudah tiga kohort bergraduat daripada program ini. Ramai lepasan program kini berkhidmat di syarikat-syarikat perladangan seperti IOI, Sime Darby Plantation, KLK Berhad, Tradewinds Plantation dan Genting Plantation.

Program pengajian ini memberi peluang kepada pelajar mengikuti latihan perladangan selama satu hingga dua tahun di lapangan dengan harapan mereka akan mempunyai kemahiran mencukupi untuk terus bekerja setelah tamat pengajian. Pihak UPM pasti graduan perladangan ini adalah jawapan kepada kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan di mana mereka boleh menguruskan ladang dengan baik sama ada dari aspek pengurusan penanaman dan juga pengurusan sumber manusia. Tambahan pula, para pelajar program ini dipastikan oleh UPM untuk menjalankan latihan industri di sektor perladangan agar bertepatan dengan matlamat utama pembentukan program ini.

Banyak sektor ekonomi di negara kita yang gulung tikar, namun sektor perladangan terus berkembang dan amat penting sokongan dan kerjasama daripada pihak industri perladangan bagi membentuk para graduan perladangan yang diperlukan untuk melestarikan masa depan sektor perladangan dan komoditi negara kita.

Dr. Daljit Singh Karam Singh ialah Penyelaras Program Bacelor Sains Pengurusan Perladangan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya