SAUDARA PENGARANG,
Tarikh 2 Julai diangkat menjadi Hari UFO Sedunia, bersempena insiden di Roswell, Amerika Syarikat (AS) pada 1947. Walaupun kenyataan rasmi tentera udara AS mengatakan serpihan yang dijumpai di Roswell itu hanyalah sisa belon kaji cuaca yang terhempas ke bumi, desas-desus di sebalik kejadian telah melancarkan kegilaan terhadap UFO (dan kejadian-kejadian aneh lain) di seluruh dunia. Dikatakan sebanyak 12,000 penampakan UFO direkodkan dalam Projek Buku Biru oleh tentera udara AS sehingga 1969.
Keghairahan manusia untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahuinya, sentiasa memberi kekuatan yang luar biasa untuk kita berusaha mengorek erti sebenar di sebalik setiap kejadian. Ini kerana menjadi fitrah manusia untuk mengetahui dan memahami apa yang terjadi di sekelilingnya.
Golongan nabi juga tidak ketinggalan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Kisah Nabi Musa a.s bermusafir singkat bersama Nabi Khidir yang dikatakan lebih berilmu daripadanya, jelas menunjukkan fitrah ingin tahu manusia itu terlalu tinggi.
Kini dunia digemparkan dengan penularan virus Covid-19 yang bukan sahaja melumpuhkan sistem kesihatan, malah merencat sistem ekonomi, sosial dan pentadbiran sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik di seluruh dunia pada Mac 2020.
Seperti ada sesuatu di sebalik kemunculan virus ini. Orang ramai lebih menggemari teori konspirasi melibatkan makmal biologi di Wuhan. Teori ini mengaitkan China yang dikatakan taksub ingin menakluk dunia. Teori kebocoran virus yang disengajakan ini tambah menyelerakan dengan gandingan sifat-sifat virus yang sangat-sangat berbahaya, mampu tersebar dari manusia ke manusia melalui udara, tempoh inkubasi yang panjang (10-14 hari) sebelum pesakit menunjukkan simptom, penghasilan ribut sitokin (cytokine storm) oleh sistem imun tubuh pesakit yang mempunyai komorbiditi dan boleh menyebabkan penurunan oksigen dalam darah secara mendadak tanpa disedari (happy hypoxia).
Fitnah dan fakta semakin sukar dibezakan, apabila minda diasak sepanjang masa dengan persepsi sesetengah pihak sahaja. Kerana sifat ini jugalah kita seolah-olah ketagih ingin mengetahui perkara-perkara sebenar (yang lebih benar daripada yang ditonjolkan oleh pihak berwajib) di sebalik bencana wabak Covid-19.
Jika benar ingin membantu, carilah cerita sebenar dalam sesuatu perkara dengan menjadikan diri kita sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya sebahagian daripada masalah itu sendiri. Mempersenda, memperlekeh dan menuding jari dalam apa juga aspek dalam tempoh pandemik ini hanya menambah keruh sedia ada, tanpa menyelesai apa-apa.
PROF. MADYA DR. NAHRIZUL ADIB KADRI ialah pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.