SAUDARA PENGARANG,
NAMPAKNYA jumlah jangkitan baharu Covid-19 masih banyak walaupun kerajaan telah mencuba pelbagai langkah untuk mengatasinya.
Keadaan menjadi meruncing kerana terdapat virus varian Delta melanda negara kita yang didapati mudah merebak dan terlalu cepat menyerang paru-paru dan jantung sehingga boleh membawa maut.
Walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat telah diperkenalkan tetapi kes masih juga tidak dapat dikawal seperti mana yang diharapkan. Saya cadangkan kerajaan menjalankan kajian secara terperinci punca sebenar perkara ini berlaku.
Berdasarkan pemerhatian saya di Seremban, penularan virus itu berpunca daripada sikap penduduk yang tidak berdisiplin. Mereka tidak mengendahkan nasihat kerajaan supaya duduk di rumah.
Dalam pada itu, saya merayu kepada kerajaan supaya melonggarkan SOP untuk sembahyang berjemaah di masjid terutama sekali solat Jumaat. Tidak perlu had kehadiran kepada 12 jemaah sebaliknya biarlah jumlah yang ramai hingga ke pekarangan luar masjid asalkan mematuhi SOP penjarakan fizikal.
Kita kena yakin senjata umat Islam yang sangat berkesan untuk melawan virus adalah dengan berdoa. Doa yang dilakukan beramai-ramai selepas solat Jumaat menjadi ikhtiar terakhir kita setelah bermacam-macam kaedah untuk mengekang pandemik yang dicuba tidak berjaya.
Kita ikhtiar pula untuk berdoa dengan penglibatan jutaan umat Islam di seluruh dunia selepas solat Jumaat kerana lazimnya doa orang yang sembahyang Jumaat mudah diterima oleh Allah SWT.
Buat solat Jumaat ringkas sahaja dengan khutbah singkat tidak melebihi lima minit sebagai mengikut syarat wajib. Baca hanya surah-surah pendek semasa solat serta doa pun dipendekkan juga tetapi biar padat dan berkesan.
Elok disyaratkan jemaah hanya boleh masuk masjid 15 minit sebelum azan dan setelah selesai mengerjakan solat Jumaat, kena beredar segera dan kosongkan masjid.
Kita ikhtiar dengan berdoa mengadu kepada Allah SWT serta galakkan umat berselawat sepanjang solat Jumaat itu untuk mendapatkan keberkatan Rasulullah SAW dan mana tahu ada dalam kalangan kita walaupun seorang yang Allah SWT terima doanya.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Taman Zaiton, Seremban.