SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 menunjukkan peningkatan berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN), iaitu pada nilai 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.
Lebih mengejutkan, pencapaian calon di luar bandar menunjukkan peningkatan lebih tinggi dari kawasan bandar iaitu sebanyak 5.06 berbanding 4.68 sedangkan sekolah terpaksa ditutup selama 110 hari sementara pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) walaupun berhadapan cabaran sepanjang proses pembelajaran melibatkan masalah peranti serta akses internet.
Walaupun keputusan SPM 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun, namun Kementerian Pendidikan hendaklah membuat perbandingan secara teliti bagi setiap kategori calon bagi melihat keberkesanan pengajaran sama ada ia lebih baik dilakukan secara bersemuka atau dalam talian ataupun menggunakan kedua-dua kaedah seperti tahun lalu.
Pada masa sama, kerajaan perlu juga melihat pencapaian murid sekolah rendah terutama tahun satu pada tahun lalu dan tahun ini. Adakah pelajar boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan baik ketika belajar PdPR atau sebaliknya?
Kerajaan hendaklah segera mendapatkan maklumat tahap penguasaan murid tahun satu sebelum mereka tercicir daripada kemahiran yang patut dikuasai seperti membaca dan menulis.
Kita boleh berbangga dengan pencapaian murid sekolah menengah dalam PdPR melalui peperiksaan SPM, tetapi bagaimana pula pencapaian murid sekolah rendah apabila tiada peperiksaan formal, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini?
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang.