SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, beberapa pihak memperlekehkan usaha kerajaan negeri Perak memberi telefon pintar percuma yang disumbangkan sebuah yayasan kepada pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) melalui program Tuisyen Cikgu Saarani.
Mereka mendakwa telefon itu berkualiti rendah walaupun telah diperjelaskan bahawa spesifikasi yang ada memadai untuk program pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tetapi tidak sesuai digunakan untuk tujuan lain terutama bermain permainan dalam talian.
Berikut sedikit coretan saya bagi mengulas isu sama tetapi melibatkan sumbangan komputer riba.
Saya terbaca hantaran seorang rakan di Facebook yang memaparkan catatan dan salinan perbualan di aplikasi sembang mengenai keluhan seorang bapa yang bimbang dua anaknya tercicir ketika mengikuti PdPR.
Bapa berkenaan mengadu mengenai kekangan kewangan dihadapinya untuk menyediakan peranti tambahan yang diperlukan kerana seorang lagi anak sudah mula bersekolah tahun ini.
Sebagai bapa, saya faham perasaan sebegitu apabila kusut memikirkan di mana mahu mencari wang tambahan untuk membeli telefon pintar, tablet atau komputer riba untuk ramai anak yang bersekolah.
Ada bapa yang sanggup membeli telefon pintar paling murah untuk kegunaan sendiri dan meninggalkan telefon pintar lebih canggih miliknya untuk anak-anak mengikuti PdPR di rumah. Tetapi bagaimana jika ada lebih daripada dua anak yang bersekolah?
Tentu kusut memikirkan di mana mahu mencari wang untuk membeli peranti yang diperlukan dengan pendapatan sekadar cukup makan.
Sebagai bapa kepada tiga anak yang bersekolah, saya juga sibuk mencari rezeki tetapi sesungguhnya Tuhan itu Maha Pemurah kerana seorang anak terpilih menerima komputer riba percuma sumbangan kerajaan.
Lega dan gembira tidak terkata anak-anak kerana boleh mengikuti PdPR dengan sempurna tanpa perlu lagi bergilir-gilir berkongsi peranti. Saya dan isteri juga lega kerana tidak perlu lagi risaukan hal pembelajaran mereka.
Bantuan yang diberikan sememangnya satu nikmat besar buat kami golongan B40, namun nikmat lebih besar adalah kepada anak-anak kerana dapat meneruskan pembelajaran walaupun sekolah ditutup akibat ancaman virus yang entah bila akan berjaya dikalahkan.
Saya tidak peduli kata-kata sesetengah pihak yang sentiasa memburuk-burukkan kerajaan sedangkan mereka semua sepatutnya berganding bahu membantu rakyat yang dalam kesusahan.
Apa yang saya sedar, melalui bantuan komputer riba ini, jurang dalam aspek pendidikan digital antara golongan kaya dan miskin dapat dikurangkan.
Di Malaysia, bukan hanya orang kaya yang boleh ada peranti seperti ini kerana ia juga boleh dimiliki keluarga kurang berkemampuan dengan adanya bantuan daripada kerajaan.
Saya percaya bantuan komputer riba percuma ini boleh diperluaskan jika semua pemimpin, syarikat korporat atau individu yang kukuh kewangannya dapat bersama-sama membantu dan menghulurkan sumbangan.
Sedarlah, tidak semua ibu bapa atau keluarga mempunyai kemampuan untuk menyediakan keperluan bagi pendidikan secara digital, apatah lagi keluarga berpendapatan rendah dan di bawah garis kemiskinan.
Bagi saya dan keluarga, kami akan menjaga dengan seelok-eloknya dan memanfaatkan komputer riba percuma pemberian kerajaan ini selama mana yang boleh kerana ia adalah nikmat dan rezeki kurniaan Tuhan.
ROHAIZAT LATIFF, Kemaman, Terengganu.