Institusi mahallah UIAM: Satu pendekatan holistik - Utusan Malaysia

Institusi mahallah UIAM: Satu pendekatan holistik

PENULIS (kiri) bersama sebahagian penuntut dan staf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta sukarelawan yang terlibat dalam projek menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat pelindung muka (face shield).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga yang terkini 3.0, kolej kediaman merupakan rumah pertama buat para penuntut Universiti ISlam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Uniknya di UIAM, kolej kediaman lebih sinonim dengan gelaran mahallah. Pembelajaran dalam talian telah mengangkat kedudukan mahallah melebihi fungsi asalnya sebagai tempat untuk melepaskan lelah, beristirehat dan tidur.

Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan kini mahallah adalah segala-galanya. Sejajar dengan peningkatan fungsi mahallah, peranan pentadbir di peringkat kolej kediaman juga bertambah berkali ganda. Pengetua kolej kediaman dan warden (felow) bukan sahaja bertindak menjaga kebajikan para penghuni kolej, bahkan mereka jugalah yang memayungi penuntut ketika kecemasan selain menjalankan kerja hakiki sebagai seorang staf akademik atau pentadbiran. Mereka juga adalah individu paling hampir yang mendengar masalah dihadapi para penuntut memandangkan PKP yang dikuatkuasakan sejak 2020 turut menghalang aktiviti mereka di luar kampus.

Bagaimanapun, PKP bukanlah alasan untuk tidak mengembangkan aktiviti berbentuk fizikal mahu pun secara maya di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelbagai program diatur oleh pentadbiran mahallah bersama-sama barisan kepimpinan siswa mahallah dikenali sebagai Jawatankuasa Perwakilan Mahallah (MRC) untuk memastikan adanya pengisian optimum. Proses pengajaran dan pembelajaran secara maya ada kalanya sangat memenatkan. Justeru, aktiviti mahallah dapat mengalihkan kepenatan itu kepada sesuatu yang mengujakan. Aktiviti mahallah sememangnya mengasah bakat kepimpinan, keusahawanan, kreativiti dan daya inovasi.

Sewaktu PKP 1.0, sebahagian penuntut yang terkandas di UIAM telah terlibat dengan projek kesukarelawanan untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat pelindung muka (face shield). Projek ini turut melibatkan staf dan sukarelawan luar serta pereka fesyen terkenal seperti Salikin Sidek. Lebih 10,000 berjaya dihasilkan dan diserahkan untuk kegunaan klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara. Ini adalah program jalinan komuniti terbaik yang pernah dijalankan melibatkan kerjasama banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar.

Sesuatu yang tidak dijangka menerusi program ini ialah lahirnya ramai penuntut yang berkemahiran tinggi untuk menjahit PPE. Kebanyakan mereka tidak pun memiliki asas untuk menjahit pada awalnya tetapi  berupaya membuat pola PPE, mencantumkan bahagian-bahagian baju PPE untuk menjadi suit lengkap serta menghasilkan aksesori seperti kasut, topi dan skaf menggunakan lebihan fabrik PPE. Mesin jahit komersial yang disediakan oleh pihak universiti berjaya digunakan secara optimum untuk menghasilkan PPE dalam jangka waktu singkat. 

Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan UIAM. Apatah lagi projek murni ini menggamit keterlibatan penuntut tempatan dan antarabangsa. Ukhuwah erat yang terjalin antara mereka membuktikan betapa hebatnya toleransi antara penuntut berbilang bangsa di UIAM sejajar dengan konsep Unity in Diversity.

Selain itu, aktiviti penternakan kelulut di beberapa mahallah untuk tujuan komersial adalah satu bentuk aktiviti keusahawanan yang berjaya mencungkil kebolehan penuntut UIAM mengkomersilkan madu kelulut yang sarat dengan 1,001 kebaikan. Produk ini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan kakitangan malah turut mendapat tempat di hati pembeli luar. Madu kelulut yang dibotolkan ini adalah tulen yang tidak mengandungi pemanis, perasa atau pewarna tiruan. Justeru, tidak hairanlah para penggemar madu asli yang cakna akan kesihatan dan tahu manfaat pengambilan madu kelulut sentiasa tertunggu-tunggu hasil tuaian madu kelulut dari mahallah.

KUCING

Di samping aktiviti bersifat keusahawanan, aktiviti yang dianjurkan oleh mahallah seperti memberi makan kucing-kucing yang berkeliaran di sekitar blok kediaman di satu tempat khusus dipilih oleh pihak pentadbiran mahallah dilihat dapat memupuk sifat sayangkan haiwan. Bagi segelintir penuntut UIAM, ia adalah satu terapi. Ini seiring dengan hasrat UIAM untuk melahirkan insan budiman dan mewujudkan kesejahteraan melalui konsep rahmatan lil alamin

Beberapa mahallah telah pun memulakan inisiatif ini dengan mewujudkan pasukan petugas kucing yang bertanggungjawab menjaga kebajikan haiwan itu. Mereka diberikan kursus asas penjagaan kucing dan kaedah memberi makan anak-anak kucing yang ditinggalkan oleh ibunya (yang berusia kurang dari sebulan). Ini adalah satu pengalaman baharu yang tidak mungkin diperoleh di mana-mana IPT. Antara sebab diwujudkan petugas kucing ini ialah untuk membantu pengurusan kucing secara sistematik, menyeragamkan tempat makan kucing dan mempromosikan kucing yang sesuai untuk adoption.

Sebagaimana suburnya sifat peka dan prihatin dalam kalangan rakyat, begitu juga halnya penuntut UIAM. Sifat kesukarelawanan yang sangat menebal dalam kalangan mereka tidak dapat disangkal sama sekali. Hal ini terbukti dengan keterlibatan mereka menjadi petugas Ops Pulang, Ops Perantau dan pasukan petugas Covid-19 di peringkat UIAM Mereka adalah tulang belakang kejayaan operasi ini selain bantuan daripada pihak pengurusan mahallah dan petugas keselamatan serta kesihatan UIAM.

Meskipun PKP tidak mugkin berakhir dalam tempoh waktu terdekat dan memberikan impak yang besar dalam semua aspek kehidupan masyarakat khususnya kepada penuntut yang terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu pendidikan dalam talian, namun ini bukanlah satu alasan untuk tidak memajukan diri. Setelah lebih setahun kita berusaha mengadaptasi kehidupan dek Covid-19, semua pihak harus meneruskan langkah untuk memajukan diri dan membuat anjakan paradigma. UIAM telah membuktikan pandemik yang dilalui menjadikan penuntut dan kakitangannya lebih kreatif, inovatif, berdaya saing, mapan, mahir teknologi dan memiliki semangat jitu untuk menjadi yang terbaik. 

Lihat dunia dari mata burung, usah lihat dari bawah tempurung. Inilah semangat yang perlu disemat di dada.

Dr. Shamshina Mohamad Hanifa ialah Pengetua Mahallah Sumayyah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya