SAUDARA PENGARANG,
TREND bunuh diri sejak akhir-akhir ini amat menggerunkan kerana banyak membabitkan rakyat beragama Islam. Di manakah silapnya? Adakah pegangan agama semakin rapuh atau berpunca daripada syariat Islam yang dipinggirkan?
Faktor sosioekonomi mungkin juga menjadi penyebab tetapi masalah kerapuhan iman ekoran sikap dan pendirian ulama yang memandang remeh soal mempertahankan maruah agama juga mendorong terjadinya kejadian seperti ini.
Dari sudut psikologi, terkongkong dalam tempoh yang agak lama di rumah, tinggal kawasan perumahan yang padat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah pangsa selain tidak boleh bergerak jauh melebihi 10 kilometer (km) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta sumber pendapatan terjejas ekoran kehilangan mata pencarian atau diberhentikan kerja akan memberi tekanan dan kemurungan kepada seseorang.
Faktor-faktor itu sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan di luar kawalan melibatkan mental dan emosi sehingga memaksa individu melakukan tindakan yang tidak sepatutnya.
Kerajaan harus memandang serius perkara ini kerana kejadian cubaan membunuh diri membabitkan generasi muda amat membimbangkan dan perlu ada jalan keluar untuk membantu dan mengatasinya.
Peranan media massa sepatutnya tidak hanya berkisah mengenai bahaya virus Covid-19 secara keterlaluan dan perlu memfokuskan langkah kawalan.
Pengaruh media massa ditambah lagi dengan kegagalan kerajaan mengurus pandemik sebenarnya boleh mengganggu emosi dan mental orang awam terutamanya generasi lapisan muda bahkan remaja belasan tahun.
Persoalannya, apakah dengan mengenakan perintah sekatan penuh yang berpanjangan ini dapat melandaikan virus Covid-19, namun pada masa sama kerajaan dilihat lepas tangan dalam meredakan kemarahan rakyat?
Justeru, sampai bilakah masalah pandemik akan selesai jika kerajaan tidak menggunakan pendekatan strategi yang bersasar dan bukannya mengenakan lockdown tetapi pada masa sama industri perkilangan tetap beroperasi.
RAKYAT KESAL, Pulau Pinang.