Iktiraf pendidikan kesihatan kesedihan - Utusan Malaysia

Iktiraf pendidikan kesihatan kesedihan

Dr. Siti Suriani Othman (kiri) dan Dr. Rezki Perdani Sawai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kegetiran ancaman pandemik Covid-19 hari ini, pasti ramai yang mengalami kehilangan demi kehilangan. Meski mati itu pasti, kita hari ini diancam ‘mati lebih awal’ kerana bahana pandemik. Tekanan mental dan emosi kadang kala tidak terbanding dengan tekanan disebabkan faktor yang lebih material seperti kesempitan wang. Jika digabungkan, mungkin seseorang boleh hilang akal. Lebih setahun lamanya kita bertarung  membiasakan diri dengan normal baharu dan pelbagai kebaharuan lagi, beberapa hari ini kita terus ditekan dengan statistik peningkatan Covid-19 yang begitu menakutkan.

Begitu ramai yang berendam air mata. Kematian orang tersayang kerana Covid-19 yang tidak mengizinkan waris di makam pengkebumian menambah lara. Demi mengurangkan risiko jangkitan demi jangkitan, yang hidup memendam rasa. Yang pergi terus pergi tanpa upaya, yang tinggal lagi tidak bermaya. Dalam bidang kajian psikologi, perasaan berduka yang dipendam dan ‘ditangguhkan’ untuk jangka masa lama boleh mengakibatkan kemarahan atau kesedihan melampau di kemudian hari. Ia kemudian menjadi beban mental yang sukar ditangani. 

Tiada kaedah seragam bagaimana kesedihan boleh diurus. Umumnya, kita faham, setiap orang memiliki cara berbeza berhadapan dengan berita kematian orang tersayang. Ketika menghadapi kesedihan dalam konteks kehilangan insan di zaman pandemik Covid-19 ini, setiap individu sama ada kanak-kanak atau orang dewasa berada dalam situasi emosi  berbeza-beza. Perbezaan inilah yang wajar kita fahami sama ada di peringkat individu atau mereka yang terlibat dalam khidmat sosial agar membolehkan kita membantu dan menyokong mereka yang memendam kesedihan hingga mempengaruhi mental secara negatif. 

Di sinilah pengurusan emosi menjadi sesuatu yang amat penting. Tidak keterlaluan dikatakan jika zaman pandemik inilah cabang ilmu ini perlu berfungsi penting dan menyumbang kepada masyarakat. Pengurusan emosi melibatkan aspek regulasi atau kawalan emosi. Regulasi emosi secara asasnya berhubung kait dengan elemen yang mempengaruhi emosi yang sedang dialami oleh seseorang, bagaimana untuk mengekspresikan emosi tersebut dan mengawalnya. 

Terdapat empat perkara utama yang perlu dilakukan oleh griever (mereka yang berduka lara) iaitu menerima kehilangan sebagai suatu realiti dan menghadapi kenyataan orang itu sudah mati dan tidak akan kembali. Bagi sesetengah orang, penafian kematian mungkin berlanjutan untuk sementara waktu. Namun, penafian berpanjangan menimbulkan kebimbangan dan individu mungkin memerlukan terapi kesedihan untuk membantu mereka melalui fasa penerimaan sesebuah kematian. 

Seterusnya, individu boleh mengendalikan emosi menggunakan pendekatan daya bertindak (coping strategy) kerohanian yang membantu mereka mengurangkan rasa sedih atas kehilangan orang tersayang. Selain itu, individu boleh mula berdikari melihat diri mereka secara keseluruhan sebagai individu dan mempunyai hak sendiri. Jika sebelum ini, seseorang mungkin melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada pasangan mereka, tetapi sekarang tidak lagi.

Dalam pada itu, pekerja sosial dan mereka yang berada dalam perkhidmatan kesihatan mental perlu diberikan latihan dan kemahiran dalam membantu mereka yang berduka lara dan sedang berkabung. 

Kajian oleh Persatuan Psikologi Amerika menunjukkan kebanyakan orang boleh pulih daripada kesedihan dan duka lara menerusi sokongan sosial dan sikap positif. Di sini, peranan pakar psikologi juga sangat diperlukan kerana psikologi mampu membantu individu meningkatkan kecekalan diri dan membina strategi untuk menangani kesedihan. 

Dalam konteks akademik tempatan, pendidikan mengenai kesedihan di  adalah sangat terhad. Di zaman pandemik ini, mungkin sudah masanya satu kurikulum digubal untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran, strategi pencegahan dan intervensi duka lara.

Dr. Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan & Dr. Rezki Perdani Sawai ialah Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya