SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini, sekali lagi negara digemparkan dengan insiden membabitkan individu yang bertindak melakukan perbuatan membunuh diri.
Rekod yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini mencatatkan dua kes bunuh diri. Perkembangan terbaru ini menggerunkan lebih-lebih lagi dilaporkan membabitkan orang Melayu.
Sekarang rata-ratanya rakyat terpaksa memikul beban menghadapi kesukaran seperti mengelakkan diri daripada terkena jangkitan virus Covid-19 dan krisis kewangan yang tenat.
Golongan mufti sepatutnya peka dengan keadaan masyarakat ketika ini dan tidak mempersoalkan inisiatif rakyat melancarkan bantuan melalui kibaran bendera putih.
Usaha kibar bendera putih dapat menggalakkan orang sekeliling menjadi mata dan telinga supaya sama-sama memainkan peranan membantu atau memudahkan jalan bagi mendapatkan bantuan dengan cara menyalurkan informasi kepada pihak-pihak berkenaan.
Respons dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan dan ternyata langkah seumpama ini dianggap sangat berkesan.
Maka atas sebab-sebab dan alasan seperti dinyatakan tersebut mewajarkan pihak mufti melihat dari semua sudut.
Justeru, kami berharap pihak institusi mufti pada masa akan datang berhati-hati, janganlah sampai boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat awam mengenai isu atau perkara yang tiada kaitan.
WARIS KERABAT TOK MUFTI, Pulau Pinang.