SAUDARA PENGARANG,
TAHNIAH kepada kerajaan yang sedang melaksanakan proses pemberian vaksin kepada semua rakyat.
Dalam kita menyokong usaha tersebut, saya ingin menarik perhatian pembaca bahawa terdapat lebih 80,000 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lalu.
MyVac ialah satu inisiatif mobilisasi sukarelawan untuk membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima.
Sukarelawan MyVac bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjadi pemudah cara urusan penyampaian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Mengambil prinsip bahawa MyVac adalah satu program sukarelawan yang berlandaskan kepada semangat ingin melibatkan diri dalam usaha memastikan PICK dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan negara, hanya bayaran sagu hati kecil diberikan.
Bagaimanapun, satu hakikat yang kita semua tahu adalah pelaksanaan pemberian vaksin di PPV tidak mungkin berjaya jika tiada bantuan dan kerjasama sukarelawan terbabit.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan memberikan penghargaan sewajarnya atas segala usaha, kesungguhan dan keikhlasan sukarelawan yang tidak jemu-jemu melayan penerima vaksin.
Saya mengesyorkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan surat penghargaan kepada sukarelawan yang bertugas di PPV di seluruh negara yang termasuk dalam kalangan mereka ialah belia dan pencari kerja.
Surat tersebut boleh mencetus semangat mereka untuk terus berjaya dalam hidup dan boleh menjadi dokumen sokongan ketika menghadiri temu duga.
Ini termasuk temu duga jawatan guru, jawatan di bawah pengendalian Jabatan Perkhidmatan Awam menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta perjawatan di kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara.
Bagi saya, sukarelawan terbabit ialah wira tidak didendang, sama seperti polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
WIRA TAK DIDENDANG, Putrajaya.