Bahaya syirik merosakkan akidah - Utusan Malaysia

Bahaya syirik merosakkan akidah

RAFIUDDIN MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Allah SWT menciptakan manusia di dunia sebagai makhluk istimewa kerana dikurniakan akal fikiran dalam menyelusuri kehidupan yang pastinya penuh dengan ranjau duri ini. Tiada makhluk lain yang diberikan akal fikiran oleh Allah SWT selain daripada manusia itu sendiri. 

Persoalannya, adakah kita menggunakan nikmat yang Allah SWT berikan itu dengan sebaiknya? Maksudnya, akal fikiran yang diperoleh oleh setiap manusia itu seharusnya dimanfaatkan dengan perkara-perkara yang mampu menjadikan kita insan bertakwa. Melalui akal juga, kita perlu memahami dengan sebaik-baiknya hanya Allah SWT tempat untuk kita mengadu atau memohon pertolongan sekiranya ditimpa musibah. 

Memang akan ada manusia di sekeliling yang akan memberikan bantuan dalam kita kesusahan tetapi perlu diingat, semuanya adalah dengan izin Allah SWT. Sekiranya kita menganggap pertolongan semua itu adalah daripada selain Allah SWT atau merasakan diri kita memang hebat dalam menangani cabaran, maka situasi ini boleh menjejaskan akidah kita kerana bersandarkan selain daripa Maha Kuasa iaitu Allah Tuhan Sekalian Alam.

Sebagai seorang Muslim, mensyirikkan atau menyekutukan Allah SWT merupakan dosa besar. Bagi mereka yang telah terlanjur dalam melakukan perkara-perkara syirik seperti pemujaan, memakai tangkal sebagai perlindungan diri, mengagungkan seseorang sebagai Tuhan dan sebagainya, bersegeralah bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha selagi mana masih bernyawa. Jangan sesekali kita termakan dengan hasutan syaitan yang tentu mahukan manusia itu sesat daripada ajaran Islam sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah SWT akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa-dosa syirik.” (Surah an-Nisa’: 48)

Sepanjang kehidupan seharian, kita perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam setiap gerak-geri serta tingkah laku. Bahkan, dari sudut tutur kata atau percakapan juga harus dijaga kerana jika kita tersalah langkah, sudah pasti akan memberi kesan kepada akidah sama ada secara sedar mahupun tidak. 

Sehingga hari ini, masih terdapat golongan atau individu yang bangga dengan mengamalkan ajaran yang merosakkan akidah. Selain itu, terdapat pelbagai ajaran sesat yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. Sudah tentu ajaran-ajaran ini terpesong sama sekali dengan akidah Islam kerana kefahaman dan kepercayaan yang pastinya memesongkan akidah sesiapa yang menjadi pengikutnya. Seharusnya kita hendaklah sentiasa merujuk atau memaklumkan kepada pihak berkuasa iaitu Jabatan Agama di setiap negeri sekiranya terdapat ajaran dan penyebaran kefahaman yang mengelirukan bagi mengenal pasti kepastiannya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya agama yang diredai oleh Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang diberikan kitab melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan, kerana hasad dengki dalam kalangan mereka. Dan sesiapa yang kufur akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran: 19)

Apa yang menyedihkan ialah sikap memilih jalan singkat dan mudah terpengaruh menjadi punca kebanyakan individu terjebak dengan perkara-perkara berkaitan syirik. Sedangkan dalam Islam kita diajar untuk merujuk sumber yang sahih dan tidak bercanggah dengan syariat. Kita juga seharusnya mendapatkan nasihat atau merujuk kepada individu yang layak digelar sebagai guru dalam memberi penjelasan kepada kita dalam sesuatu perkara, apatah lagi melibatkan akidah dan iman seseorang. 

Kadangkala kita mengetahui perbuatan sebegitu salah, namun kerana lemahnya pendirian diri maka dituruti juga hasutan syaitan yang sudah tentu mahu menyesatkan serta memastikan kita lupa kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa. Janganlah mudah terpedaya dengan hasutan yang boleh membawa kita melakukan dosa-dosa besar sebegitu. Sekali kita terpaut, tiada jalan lain melainkan taubat nasuha. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi mana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah NabiNya (Sunnah Nabi SAW).” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Oleh yang demikian, kita jangan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran mahupun amalan-amalan yang hanya dilihat pada logik akal tanpa berpandukan kepada sumber sahih lagi diyakini. Jika tidak pasti akan sesuatu risalah, maka jangan dikongsi atau dihebahkan kepada orang lain tapi memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Dikhuatiri ada dalam kalangan masyarakat yang akan mudah menerimanya serta merta tanpa merujuk terlebih dahulu. Lebih parah lagi apabila dalam kalangan mereka yang menerima dengan serta merta terus beramal dengan kefahaman yang dipercayai itu sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan akidah. Justeru, berpegang teguhlah kepada ajaran Islam yang sebenar melalui akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar memberi kekuatan kepada hati kita serta mengukuhkan iman agar tidak tergelincir daripada landasan Islam sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” (Surah Luqman: 13)

Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya