SAUDARA PENGARANG,
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global, Tabung Alam Sedunia (WWF) meletakkan Malaysia sebagai negara kedua di rantau ini dalam penggunaan plastik (purata setiap individu menggunakan hampir 20 kilogram plastik setahun).
Melalui pemerhatian dan kajian kumpulan penyelidikan saya, ia berkaitan perubahan bahan pembungkusan makanan yang digunakan dahulu dan sekarang. Saya melawat beberapa perkampungan air di Malaysia dan menemu ramah penduduk berkaitan isu pembuangan bahan plastik sekali guna. Di sana, mereka hanya akan terus membuang plastik yang digunakan langsung ke luar rumah, terus masuk ke sungai atau laut.
Sekali pandang, tanpa usul periksa, ini mungkin agak menjengkelkan, apatah lagi dengan lambakan maklumat yang diterima mengenai impak pembuangan sampah dengan hidupan marin. Apakah penduduk di situ tidak sayangkan alam sekitar?
Pembuangan sampah daripada jenis pembungkus makanan ini berkait rapat dengan ekosistem sosiobudaya di sana. Dahulu, bahan yang digunakan untuk membungkus makanan diperbuat daripada kertas, helaian akhbar lama, atau daun pisang. Ya, kesemuanya bahan yang kini digelar biodegradable. Walaupun ketiadaan sistem pengurusan sisa yang khusus, pembuangan bahan-bahan ini masih tidak menimbulkan masalah besar kerana kesemuanya adalah bahan organik dan mampu terurai secara semula jadi.
Kini, atas alasan memaksimumkan julat keuntungan, keseluruhan pilihan pembungkusan makanan diperbuat daripada plastik sekali guna kebanyakannya diperbuat sama ada daripada polietilena (PET) atau polipropilena (PP). Menurut kajian, dikatakan hanya sembilan peratus bahan plastik yang dikitar semula sejak penggunaannya pada 1950-an dan pengeluaran plastik global ketika ini dikatakan menghampiri angka 400 juta tan setahun.
Sejak pandemik Covid-19 diisytiharkan pada Mac 2020, banyak kajian menunjukkan peningkatan jumlah sisa plastik di seluruh dunia disebabkan penggunaan alat perlindungan peribadi (PPE) pakai buang termasuklah pelitup muka dan pembungkusan makanan.
Terdapat tiga cara untuk mengatasi masalah ini iaitu:
-Jadilah pengguna berpengetahuan dan bertanggungjawab. Bawa bekal makanan ke tempat kerja, ketika membungkus makanan dan hanya membeli belah bila perlu. Mari kita sama-sama jayakan inisiatif kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang telah dimeterai.
-Berkongsi maklumat mengenai pencemaran plastik. Buat desakan kepada pemilik syarikat untuk berhenti menggunakan plastik dalam produk mereka. Sertai kempen dan petisyen untuk menunjukkan sokongan.
-Semak gaya hidup. Pilih untuk beralih kepada gaya hidup sifar sisa. Rancang setiap pembelian supaya tidak memberi impak kepada alam sekitar
ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES, Pensyarah Kanan Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.