Atlet IPT bukan lagi ayam tambatan? - Utusan Malaysia

Atlet IPT bukan lagi ayam tambatan?

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan IPT sukar untuk mencari atlet pelapis yang berbakat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita tidak menyedari atlet dari institusi pengajian tinggi (IPT) menyumbang sebanyak 42.1 peratus pungutan pingat emas Malaysia pada Sukan SEA 2017.  

Pelajar IPT yang berjaya mewakili negara pada Sukan SEA 2019 pula adalah seramai 233 atlet daripada keseluruhan 773 orang.  

Pencapaian atlet IPT dalam temasya pada tahun tersebut juga meningkat dengan menyumbang 29 pingat emas, 29 perak dan 27 gangsa.  

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 menyebabkan peluang IPT untuk melahirkan atlet yang berupaya bertanding di peringkat negeri, negara dan Sukan SEA akan terjejas disebabkan kualiti atlet dari sekolah yang menyambung pelajaran di situ tidak mencapai tahap dikehendaki. 

Ini kerana pandemik menyebabkan atlet sekolah tidak dapat bertanding di temasya sukan yang diadakan di peringkat sekolah, daerah dan negeri seperti Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) atau Sukan Malaysia (Sukma).

Ketiadaan kejohanan berkenaan secara tidak langsung menyebabkan fasa latihan mereka terjejas atau kemungkinan tidak langsung boleh dilaksanakan.  

Apabila atlet lepasan sekolah tidak dapat bertanding dalam mana-mana kejohanan, maka IPT menghadapi masalah memilih calon atlet yang bukan sahaja berdasarkan kepada syarat minimum kelayakan akademik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi penglibatan dan tahap pencapaian mereka dalam sukan.  

Kesannya, berkemungkinan calon yang dipilih untuk memasuki IPT hanya berdasarkan kepada kelayakan akademik dan bukan dalam kalangan mereka yang betul-betul cemerlang dalam sukan.

Memandangkan kita tidak mengetahui sampai bila masalah pandemik Covid-19 akan berakhir, maka perlu ada satu mekanisme jitu yang dapat menangani permasalahan ketandusan atlet khususnya di peringkat IPT.

PROF. DR. MOHAR KASSIM, Pengarah Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya