SAUDARA PENGARANG,
SAYA sangat tertarik dengan hasil penulisan kreatif di sebuah akhbar tempatan mengenai kehebatan bintang bola sepak Eropah, Cristiano Ronaldo. Akibat daripada penolakan bintang itu terhadap satu jenama minuman berkarbonat dengan memilih air mineral menyebabkan jatuhnya pasaran minuman tersebut sebanyak USD4 billion (RM16.4 bilion). Terbukti, betapa hebatnya pengaruh personaliti bertaraf dunia itu.
Sehubungan itu, maka saya terfikir, alangkah baiknya jika personaliti dan selebriti negara kita dapat bertindak sedemikian rupa bagi membantu negara mencegah penularan Covid-19 dengan menarik rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Saya dapati dalam kalangan personaliti dan selebriti tempatan tidak menggunakan peluang keemasan untuk membantu negara dalam menghadapi penularan pandemik.
Tidak perlulah diceritakan di sini siapakah personaliti dan selebriti yang terlibat. Saya kira rakyat semua sudah sedia maklum. Alangkah baiknya jika kita sama-sama membantu negara mengekang pandemik ini.
Sama-samalah mematuhi SOP agar kita dapat hidup seperti sediakala tanpa sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
RAKYAT PRIHATIN, Kuala Lumpur.