Wajibkan sahaja vaksinasi - Utusan Malaysia

Wajibkan sahaja vaksinasi

TIBA masanya negara mewajibkan vaksinasi Covid-19 dalam usaha memerangi pandemik itu, sekali gus mencapai imuniti kelompok. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM berperang dengan musuh yang tidak kelihatan iaitu Covid-19, kita sepatutnya mengambil pendekatan lebih berani dan bijak untuk mengubah strategi dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat terkini.

Sudah tentunya maklumat didapati daripada pelbagai kajian dan pengamatan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan dan ‘Mak Teh’ (rakaman audio berdurasi dua minit 48 saat yang mendakwa seramai 40 orang jururawat meninggal dunia akibat vaksin Covid-19).

Apa yang kita tahu dan diuar-uarkan di seluruh dunia, vaksinasi membuahkan hasil. Benar risikonya ada, benar kemudaratannya terbukti (untuk sesetengah kes yang sangat-sangat jarang terjadi).

Sejak Amerika Syarikat (AS) memulakan program vaksinasi secara agresif, kes positif baharu harian menurun secara mendadak sebanyak 90 peratus antara Januari dan Mei lalu. United Kingdom (UK) juga begitu untuk tempoh sama malah lebih baik iaitu pada kadar melebihi 95 peratus penurunan.

Di AS, hampir 50 peratus rakyatnya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala UK sebanyak 60 peratus (setakat Mei lalu).

Berdasarkan kejayaan itu, rakyat di negara ini boleh mempelajari sesuatu mengenai suntikan vaksinasi dari dua negara tersebut iaitu separuh daripada jumlah penduduk (menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin), sudah mampu mengurangkan kes positif dan kematian secara drastik dalam tempoh tiga hingga lima bulan.

Biar apa pun perdebatan mengenai pemberian vaksin, kita mesti menerima kenyataan bahawa kesannya amat positif.

Maka saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi supaya mewajibkan vaksinasi kepada semua penduduk di negara ini.

Ini kerana vaksinasi terbukti mampu menurunkan kadar jangkitan. Langkah ini juga dapat menyelamatkan sistem kesihatan negara yang semakin tenat. Kita pun sudah penat, bukan?

PROF. MADYA DR. NAHRIZUL ADIB KADRI
Pensyarah dan Penyelidik
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya