Tsunami e-dagang: Peranan peniaga realisasikan masyarakat tanpa tunai - Utusan Malaysia

Tsunami e-dagang: Peranan peniaga realisasikan masyarakat tanpa tunai

INTAN LIANA SUHAIME
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada  2019, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paymens Network Malaysia Sdn. Bhd., Peter Schiesser menjangkakan Malaysia hanya akan mampu merealisasikan konsep masyarakat tanpa tunai dalam tempoh  20  tahun akan datang. 

Bagaimanapun, kehadiran virus Covid-19 pada awal 2020 seterusnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac telah mengubah landskap perbelanjaan masyarakat di mana penggunaan e-dagang meningkat sebanyak 31.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Strategi kerajaan melalui Belanjawan 2021 menyaksikan pelbagai inisiatif  dirancang untuk menyokong aktiviti e-dagang seperti latihan, subsidi penjualan serta khidmat sokongan jualan kepada para usahawan khususnya peniaga mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak. 

Terkini, Malaysia dapat mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu  daripada pasaran e-dagang utama ASEAN seterusnya mencapai agenda Malaysia 5.0 yang memperkasakan masyarakat berintegrasi dengan teknologi.

Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan kurang daripada sejuta rakyat  Malaysia yang tidak mempunyai telefon pintar dan sejujurnya telefon pintar adalah sebahagian daripada gaya hidup seharian masyarakat. 

Aplikasi ataupun platform e-dagang adalah lebih mudah dilayari melalui telefon pintar dan tidak hairanlah jika kita dapati kanak-kanak semuda tiga tahun sudah pandai menyatakan keinginan untuk membeli di platform  tersebut sementelahan iklan dan promosi hebat platform e-dagang sering dilihat di pelbagai media massa.

Kajian terhadap 55 pengguna telefon pintar berusia 18 hingga 20 tahun mendapati 90 peratus daripada mereka adalah pengguna aplikasi e-dagang untuk pelbagai tujuan dan 60 peratus tidak mempunyai masalah  berkaitan ‘kepercayaan’ atau ‘keselamatan’ berkaitan aplikasi yang  digunakan.  

Mereka memilih untuk menggunakan aplikasi e-dagang berikutan kebaikan  yang dijanjikan seperti selamat, kurang ‘sentuhan’ melibatkan risiko perpindahan virus serta pilihan yang banyak pada tawaran harga berpatutan. 

Nyata, kelebihan tersebut menjadi nilai tambah kepada proses merealisasikan objektif masyarakat tanpa tunai.

Sungguhpun begitu, satu persoalan yang mungkin muncul adalah menilai sejauh mana kesediaan peniaga untuk berhadapan dengan tsunami  e-dagang sejurus mereka mendaftar sebagai penjual. 

Para peniaga dan usahawan bukan sahaja perlu memastikan mereka bersedia dari segi fizikal, bahkan mental dan harus berjiwa besar dalam memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai di platform tanpa bersemuka ini.

Pengguna yang berpuas hati semestinya akan mengulang semula pembelian di platform yang sama, justeru menggalakkan pembelian tanpa tunai tersebut. 

Mengambil contoh, seorang pengusaha restoran atau kedai makan perlu  pantas memikirkan kaedah pembungkusan yang terbaik bagi memastikan kualiti makanan terjamin apabila sampai di tangan pelanggan. 

Pada masa sama, dia juga perlu kreatif menentukan harga jualan di platform e-dagang kerana umum mengetahui kos operasi adalah rendah berbanding jika jualan secara langsung di kedai.

Penggunaan ilustrasi yang menarik serta ayat-ayat pemasaran turut  membantu dalam meningkatkan rating satu-satu kedai di platform e-dagang tersebut. 

Kepada para peniaga, tingkatkan daya saing perniagaan anda dengan merebut peluang sedia ada agar kerancakan ekonomi kendiri dapat dikembalikan malah mungkin lebih baik dari yang sebelumnya. 

Proses adaptasi dan asimilasi perlu dilaksanakan secepat mungkin apatah lagi semua maklumat di hujung jari dan ini adalah norma baharu yang kita sedang hadapi iaitu ke arah masyarakat tanpa tunai.  

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya