SAUDARA PENGARANG,
Kebelakangan ini kerap kali kita baca laporan atau cerita yang ditularkan di media sosial mengenai tindakan membunuh diri termasuk terjun bangunan.
Semua ini berlaku disebabkan kesempitan ekonomi yang melanda dunia secara sejagat. Jangan dituduh ia kegagalan mana-mana pihak. Berhenti menuding jari sesama kita.
Sebenarnya ia terjadi akibat kesan penularan Covid-19. Lalu semua ini ditempuh untuk tempoh yang panjang, iaitu kira-kira 18 bulan sejak 2020 lagi.
Bagaimana kita boleh membantu dalam isu ini? Jenguk-jenguklah sedikit jiran tetangga di depan, belakang, kanan dan kiri rumah setiap masa. Mungkin ada dalam kalangan mereka terpaksa memendam rasa dan jiwa dek kesempitan hidup.
Jika yang bekerja makan gaji, mungkin boleh membelanjakan sedikit wang bulanan untuk membeli produk yang dihasilkan oleh jiran. Jika ada lebihan lauk tengah hari, apa salahnya kita menghantar sepinggan, semangkuk untuk dijamah oleh keluarga yang memerlukan.
Andai kita sama-sama saling melengkapi, insya-Allah pasti keharmonian itu akan terbentuk kembali. Aplikasikan semangat #KitaJagaKita kerana pada saat genting ini, anggaplah semua jiran tetangga dan kenalan kita sebagai keluarga sendiri.
Berdoalah agar pandemik ini segera pergi.
Sarfarizmal Saad
Setiausaha Agung
Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)