tambah kotak aduan dalam MySejahtera - Utusan Malaysia

tambah kotak aduan dalam MySejahtera

ANGGOTA Rela membantu orang ramai mengimbas kod QR MySejahtera semasa beratur bagi mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APLIKASI MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan berperanan membantu dalam pengawasan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Antara fungsi yang disediakan oleh aplikasi ini adalah memberi panduan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti virus terbabit.

Dalam pada itu, kemudahan tambahan yang dimasukkan kemudian pada Februari lalu adalah pendaftaran program vaksinasi secara dalam talian yang diuruskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

Sebelum mendaftar bagi menerima vaksin, pengguna perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera terlebih dahulu dan ikon Covid-19 Vaccination yang mengandungi maklumat lengkap mengenai profil peribadi perlu dikemas kini sebelum disahkan.

Setelah maklumat disahkan, pengguna akan diberi beberapa soalan antaranya persetujuan penerimaan vaksin, sejarah penyakit dan kontak rapat pesakit Covid-19 sebelum permohonan dihantar.

Aplikasi itu turut menyarankan pengguna untuk mengaktifkan notifikasi bagi menerima sebarang info mengenai program vaksinasi yang dilaksanakan secara berperingkat dan sekiranya terpilih, mereka perlu mengesahkan persetujuan untuk hadir janji temu.

Bagaimanapun, ketiadaan petak/kotak ‘Lain-lain gejala/simptom’ dalam aplikasi MySejahtera menyukarkan penerima vaksin untuk melaporkan semua gejala yang dialami selepas menerima vaksin.

Saya mendapati kotak bagi melaporkan kehadiran gejala berkaitan kesan sampingan vaksin yang disediakan dalam MySejahtera adalah terhad kepada gejala awal seperti alahan, nyeri, pening, muntah, bengkak dan demam sahaja yakni tiada ruang untuk mengadu gejala lain.

Seperti yang kita sedia maklum, sebelum ini heboh diperkatakan tentang vaksin AstraZeneca yang dikaitkan dengan kesan sampingan berbahaya iaitu pengentalan darah di otak dan sekarang Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat pula melaporkan ada peningkatan simptom berkaitan keradangan jantung sejak April lalu yang dikaitkan dengan vaksin Pfizer dan Moderna.

Sebagai vaksin keluaran baharu, tidak semua kesan sampingan boleh diketahui pada awal penggunaannya. Kesan-kesan sampingan seperti di atas ialah bukti betapa ia boleh tiba-tiba muncul apabila lebih banyak orang dicucuk vaksin terbabit.

Memandangkan kita adalah pengguna vaksin keluaran Pfizer, Moderna, AstraZeneca, Sinovac dan mungkin ada yang lain lagi dan di sebabkan sebelum ini sudah wujud dakwaan kesan sampingan, maka perlulah MySejahtera ditambah baik.

Paling utama adalah menambah kotak aduan ‘kosong’ atau kotak aduan ‘gejala-gejala lain’ agar simptom yang tidak disenaraikan boleh ditambah ke dalam petak tambahan berkenaan.

Dengan itu, kotak aduan tambahan akan membolehkan pihak penerima vaksin menyalurkan aduan yang lebih terperinci dan pada masa sama Kementerian Kesihatan mendapat maklum balas yang lebih terkini dan tidak hanya bergantung kepada maklumat daripada pengeluar atau negara-negara asing.

PENERIMA VAKSIN COVID-19
Tanjung Malim, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya