SAUDARA PENGARANG,
Peranan pihak pengurusan bangunan strata dalam mengamalkan norma baharu semakin mencabar terutama ketika kes positif Covid-19 kian meningkat. Setiap proses pengurusan perlu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
Pihak pengurusan perlu memastikan langkah pencegahan seperti saringan suhu badan, mendaftar dan mengimbas kod respons pantas (QR) melalui aplikasi MySejahtera, sanitasi tangan, penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka sentiasa dipatuhi oleh setiap penghuni, pelawat, kontraktor dan pekerja.
Pematuhan SOP terhadap penggunaan fasiliti di kawasan harta bersama perlu dipantau oleh pihak pengurusan. Ini termasuk tempat letak kereta, lif, kolam renang, gimnasium dan taman permainan. Kemudahan ini pada kebiasaannya digunakan oleh ramai individu dalam masa serentak.
Penukaran status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sesebuah lokaliti berdasarkan jumlah kes positif memerlukan pihak pengurusan untuk sentiasa peka SOP yang diguna pakai. Sebagai contoh, penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi di bangunan strata seperti kolam renang dan gimnasium perlu diberhentikan semasa status Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mungkin boleh beroperasi semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tertakluk kepada SOP Sektor Sukan dan Rekreasi, Kementerian Belia dan Sukan walaupun berdepan isu caj penyelenggaraan yang dibayar pada setiap bulan sepanjang tempoh PKP.
Justeru, kerjasama semua pihak terlibat amat penting ke arah kesejahteraan komuniti strata.
DR. HARIATI ABDULLAH HASHIM & DR. AMINAH MOHSIN
Universiti Teknologi Malaysia