Pendidikan tahfiz unggul, berkesan - Utusan Malaysia

Pendidikan tahfiz unggul, berkesan

PENDIDIKAN yang holistik dan menepati sistem pendidikan arus perdana menjadi pilihan ibu bapa dalam pemilihan institusi pengajian anak mereka. – UTUSAN/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDIDIKAN tahfiz al-Quran semakin mendapat tempat di seluruh negara, khususnya dalam era pendidikan moden yang semakin mencabar. Banyak isu yang dibincangkan oleh pelbagai pihak berkaitan pendidikan tahfiz seperti kurikulum, pengajaran dan pembelajaran (PnP) serta pengurusan institusi tahfiz.

Perbincangan itu turut meliputi kelayakan guru, prasarana dan kebajikan pelajar. Ada pihak yang pro dan ada yang kontra. Bagaimanapun, kita melihat sambutan yang sangat menggalakkan daripada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke institusi tahfiz kerana secara dasarnya institusi itu mempunyai visi dan misi yang jelas untuk memartabatkan pengajian al-Quran.

Penyelarasan, pembangunan, penaziran, pemantapan dan pemerkasaan urus tadbir institusi tahfiz perlulah mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peraturan sedia ada agar menjadi model pendidikan yang unggul dan berkesan.

Pendidikan tahfiz mesti mengintegrasikan antara ilmu naqli (agama) dan ilmu aqli (akademik) atau dengan kata lain menggabungkan antara kurikulum pendidikan Islam yang berteraskan tahfiz al-Quran dan kurikulum kebangsaan.

Pendidikan tahfiz juga tidak mengabaikan pendidikan akhlak atau moral. Oleh itu, ia menjadi pilihan ibu bapa yang melihat sistem pendidikannya lebih holistik. Jelas, institusi tahfiz al-Quran umumnya seiring dan menepati sistem pendidikan arus perdana. Tidak ada aspek yang diabaikan. Buktinya, sejak tiga tahun terdahulu semua lepasan Maahad Tahfiz Ar-Raudhah (MTAR) keluar dengan jayanya iaitu khatam 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini membuktikan sistem yang disediakan di institusi-institusi tahfiz mempunyai nilai tambah dan keistimewaan tersendiri.

Setiap institusi mungkin berbeza kaedah, tetapi yang pasti masing-masing mempunyai visi dan misi yang sama iaitu memartabatkan pengajian al-Quran dan tahfiz al-Quran di Malaysia, seterusnya melahirkan hafiz yang profesional.

DR. NOR HAZRUL MOHD. SALLEH
Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya merangkap Pengerusi LPS Maahad Tahfiz Ar-Raudhah, Perol, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya