Pandemik bukan penghalang misi kemanusiaan - Utusan Malaysia

Pandemik bukan penghalang misi kemanusiaan

PENDUDUK Semenanjung Gaza amat memerlukan bantuan dari seluruh dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan segera melancarkan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Kami berpendapat, misi bantuan kemanusiaan perlu segera berada di Semenanjung Gaza dalam keadaan gencatan senjata sedang berkuat kuasa dan pintu sempadan Rafah sudah dibuka untuk masuk ke situ.

Keperluan membina semula Semenanjung Gaza adalah sangat mendesak terutama untuk membantu lebih 75,000 rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal.

Kami berpendapat, bantuan dari Malaysia memerlukan kerjasama pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di situ.

Langkah tersebut dapat memastikan segala bantuan yang disalurkan memenuhi keperluan mangsa dan bersifat jangka panjang.

Kami sedang merancang untuk berangkat ke Semenanjung Gaza dalam masa terdekat dan mengundang mana-mana NGO yang boleh bersama dalam misi ini.

Sepanjang pengalaman membantu pembinaan Semenanjung Gaza bersama beberapa NGO dari dalam dan luar negara sejak 2010, kami berpendapat setiap misi perlu diatur secara koordinasi dengan pihak berkuasa di sana.

Kami menerima maklumat banyak NGO dan agensi kemanusiaan dari pelbagai negara mulai masuk ke Semenanjung Gaza.

Jika kami mendapat kerjasama daripada kerajaan, kami ingin mencadangkan misi ini menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ini akan memungkinkan barangan bantuan dibawa langsung ke Semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah di Mesir.

Segala persiapan sedang diatur untuk menjayakan misi ini tertakluk kepada peraturan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang kami akan patuhi sepenuhnya.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya