SAUDARA PENGARANG,
KEMENTERIAN Pendidikan memutuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan.
Justeru, kementerian melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat untuk memasuki tingkatan satu dan tingkatan empat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
PBS adalah satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu penilaian dari aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Terdapat empat komponen PBS iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan.
Penilaian yang dibuat oleh guru bukanlah bersifat pilih kasih, namun penilaian secara menyeluruh boleh diperluaskan melibatkan ibu bapa dan rakan sekelas dengan wajaran skor sebanyak lima hingga 10 peratus.
Dalam pada itu, PKSK adalah satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dalam talian yang menilai penguasaan murid secara keseluruhan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada prestasi akademik semata-mata.
PKSK melibatkan tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah sebanyak 20 peratus, Kecerdasan Intelek (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).
Bagaimanapun, wajaran skor yang diperuntukkan bagi Kecerdasan Intelek adalah besar. Dicadangkan kementerian mengkaji semula wajaran skor serta format yang diguna pakai untuk bahagian tersebut.
Kementerian boleh memperkenalkan kaedah temu bual antara murid, guru dan ibu bapa bagi mewujudkan penilaian dan pengukuran secara holistik.
DR. MUHAMMAD SYUKRI ABDULLAH
UiTM Cawangan Melaka