Bersatu teguh, bercerai roboh. Sebuah peribahasa yang menyeru kepada perpaduan. Perpaduan adalah kunci kepada kejayaan dan kekuatan. Itulah sebabnya setiap bangsa dan bahasa di dunia ada perumpamaan masing-masing yang membawa kepada maksud sama. Malah dalam al-Quran juga ada beberapa ayat yang menjurus kepada pentingnya perpaduan. Antaranya surah al-Anfal ayat 46: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu rasa gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Sejak manusia pandai hidup dalam kelompok, manusia memahami, hanya perpaduan yang boleh menjamin keselamatan mereka, yang boleh memberi kekuatan kepada kelompok atau kumpulan masyarakat mahupun sesuatu bangsa. Sejarah berkali-kali membuktikan dengan perpaduan yang jitu, banyak kerajaan berjaya ditumbangkan oleh rakyat biasa sahaja, bukannya bala tentera. Begitulah, hebatnya sesuatu perpaduan yang terbentuk.
Perpaduan kaum, tidak boleh tidak adalah perkara yang penting dan utama bagi sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia. Saya hendak menyentuh tentang perpaduan Melayu.
Secara ringkas, perpaduan Melayu terbentuk pada 1946 apabila Malayan Union cuba ditubuhkan walaupun dengan persetujuan raja-raja Melayu. Kekuatan perpaduan Melayu berjaya menolak Malayan Union sehingga ia dimansuhkan pada 1948.
Apabila komunis cuba bertapak di Tanah Melayu, demi bangsa dan agama, sekali lagi kekuatan perpaduan Melayu berjaya mengekang tersebarnya ideologi komunis walaupun nyawa jadi pertaruhan, yang mana akhirnya berjaya membuat komunis menyerah diri.
Semangat perpaduan Melayu ini ditunjukkan oleh generasi dahulu yang mana pada masa itu kedudukan mereka diancam. Daripada generasi tersebut, sekarang hanya tinggal beberapa kerat yang masih hidup.
Dengan suasana kehidupan dunia internet dan dalam talian sekarang, masih perlukah kita bincang mengenai perpaduan Melayu? Adakah kedudukan orang Melayu sedang terancam?
Dianggarkan penduduk negara ini berjumlah 32.7 juta orang, hampir 60 peratus Melayu Islam, tidak termasuk bumiputera. Maka orang Melayu kira-kira 19.6 juta.
Sementara 11.7 juta orang Melayu berada di luar Lembah Klang. Hanya tiga juta bukan Melayu tinggal di luar Lembah Klang. Maksudnya di sini, mereka yang tinggal di luar Lembah Klang mempunyai tahap pendapatan sederhana kepada rendah dan seterusnya miskin. Sementara yang tinggal di Lembah Klang mempunyai tahap pendapatan sederhana kepada tinggi.
Jelas, orang Melayu mempunyai tiga kali ganda golongan berpendapatan sederhana, rendah dan miskin berbanding bukan Melayu. Maknanya, kekuatan ekonomi orang Melayu tidak kuat, walau di Lembah Klang sekalipun. Kebanyakan berpendapatan sederhana dan tinggal di PPR (Program Perumahan Rakyat).
Dari segi ekonomi terbukti tidak setanding bukan Melayu. Pendidikan bagaimana? Politik lagi?
Sekarang kita analisa realiti, sebelum ini perpaduan Melayu wujud apabila ancaman dari luar datang mengancam kedudukan mereka. Secara naluri, mereka bertindak sebab ancaman itu nyata dan jelas di depan mata.
Tetapi sekarang bukan lagi ancaman luar yang menggugat kedudukan orang Melayu, bukan juga kita nak kaitkan dengan kaum lain, langsung tiada kena-mengena. Tetapi ancaman dalam bentuk pengkhianatan kepada bangsa Melayu oleh orang Melayu sendiri. Orang-orang yang memegang kuasa, yang diberi kepercayaan untuk menjaga, melindungi dan memajukan bangsa dan negara. Tetapi yang dibuatnya ialah mencari kekayaan sendiri, mengamalkan rasuah, penyelewengan dan seangkatannya.
Ancaman ini bersifat dalaman, susah hendak dilihat, maka mengakibatkan ramai orang Melayu tidak perasan. Sebab mungkin pada mereka, ini bukan ancaman serius, tidak melibatkan mereka secara terus. Tetapi sedarlah, ini boleh menjadi punca kejatuhan orang Melayu jika tidak ditentangi, terutama rasuah.
Rasuah di peringkat tertinggi boleh menyebabkan runtuhnya ekonomi, menyebabkan perbelanjaan kerajaan menjadi mahal berganda-ganda, akhirnya masyarakat umum yang sengsara. Inilah salah satu punca kenapa ekonomi orang Melayu tidak setanding bukan Melayu. Ramai Melayu lebih miskin sebabnya kerana rasuah dan salah guna kuasa.
Kita ambil contoh, Afrika Selatan. Sewaktu Presiden Zuma memerintah, kerajaannya dikawal oleh keluarga Gupta (imigran dari India) melalui rasuah. Keluarga Gupta merasuah hampir seluruh menteri termasuk Presiden Zuma sendiri, Sehinggakan keluarga Gupta boleh menentukan siapa yang dilantik sebagai menteri atau dipecat. Pada 2018, Presiden Zuma meletakkan jawatan selepas menghadapi undi tidak percaya di Parlimen. Akibat amalan rasuah beliau, kerugian Afrika Selatan dianggarkan sebanyak RM134 billion.
Beginilah dahsyatnya rasuah. Ini tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia. Pemimpin negara kita yang akan datang, pemimpin yang lepas dan yang sekarang adalah Melayu. Jadi, sebelum bangsa Melayu itu kehilangan kuasa dan musnah oleh gejala rasuah kerana kerakusan segelintir penguasa, perlulah kita menentang amalan rasuah di semua peringkat. Ini tidak akan berhasil jika dilakukan oleh satu atau dua orang.
Rasuah inilah ancaman kita sekarang. Kerana amalan rasuah inilah, orang Melayu dipandang rendah kerana dianggap sebagai bangsa yang senang dibeli. Akibat rasuah dan sifat tamak haloba juga bangsa Melayu berpecah.
Perpaduan Melayu itu perlu untuk sama-sama kita menolak segala ancaman amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Kerana rasuah yang akhirnya boleh merosakkan dan menggadai bangsa. Perpaduan Melayu diperlukan sekarang agar bangsa Melayu terbela, terlindung, dihormati dan dipandang tinggi.
Pada masa sama, perkara paling penting, kita perlu memelihara hak-hak kaum lain, menghormati kebebasan beragama dan kebebasan berbahasa mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Penulis ialah Ketua Biro Perpaduan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).