SAUDARA PENGARANG,
LUAHAN kebimbangan tentang masa depan seni persembahan tradisional Melayu sudah lama dizahirkan oleh pelbagai pihak termasuk budayawan, ilmuwan dan penggiat seni itu sendiri.
Pokok pangkalnya, meletakkan seni tradisi untuk terus gah perlu sentiasa diikhtiarkan. Ikhtiar itu perlu merentasi batas kebiasaan agar seni tradisi itu tidak sentiasa pada takuk lama.
Justeru, kaedah persembahan dan cara mempromosikannya perlu sentiasa diinovasikan agar selari serta tidak janggal pada mata generasi dekad ini.
Jika terlalu memandang dari sudut keasliannya, bagaimana pula dengan langkah kelestariannya pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada identiti budaya negara?
Adakah kita perlu berdiam diri dan membiarkan tradisi itu hanya tinggal artifak tinggalan sejarah? Atau reda ia tidak bernadi dan akhirnya pupus dimamah edaran zaman begitu sahaja?
Oleh itu, apa salahnya jika warisan seni persembahan tradisi juga boleh dilihat sebagai satu bentuk dagangan yang dikomersialkan selari dengan arus persaingan budaya popular.
Sememangnya itulah yang dilakukan oleh negara-negara maju di samping mengetengahkan budaya dan tradisi bangsa mereka di mata dunia.
Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) adalah contoh penggiat seni yang berpandangan jauh ke depan, bertindak secara drastik dalam memartabatkan seni budaya tradisi menerusi langkah sebegini.
Irama, rentak, melodi bahkan seni tari tradisi diberikan nafas baharu dengan gubahan dan corak persembahan tradisional Melayu dengan suntikan elemen kontemporari telah berjaya menarik minat semua lapisan masyarakat bahkan orang luar pada suatu ketika.
MOHAMMAD HARIS ABD. AZIS
Pusat Budaya & Seni
Universiti Utara Malaysia (UUM)