SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memulakan penulisan ini untuk meminta pembaca menghayati sebahagian daripada lirik lagu kumpulan nasyid, Hijjaz yang menggambarkan perasaan rindu:
Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu.
Benarlah bahawa perasaan rindu adalah anugerah kepada mereka yang punya hati nurani. Itulah perasaan yang semakin menghambat jiwa terutama pada pagi Hari Raya Aidilfitri seperti yang disambut 13 Mei lalu.
Makin sesak rasa di jiwa mengenangkan mereka yang disayangi, ibu ayah, sanak saudara dan rakan, apabila Syawal tiba. Namun, rasa rindu ini nampaknya kekal tidak terlangsai akibat pandemik Covid-19 yang melanda sehinggakan pergerakan antara daerah dan negeri turut dilarang bagi mengekang penularannya.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, kebiasaannya tradisi balik kampung menjadi aktiviti besar-besaran setiap kali penghujung Ramadan.
Kemeriahannya makin dirasai apabila semakin hampir dengan hari raya hinggakan berlaku kesesakan di jalan raya dan lebuh raya.
Namun, ketika pandemik masih lagi mengganas, timbul persoalan tentang tradisi balik kampung ini terutama melibatkan pergerakan besar-besaran dan pertemuan manusia dari pelbagai pelosok dan berisiko menyebabkan penularan Covid-19.
Memang benar, terdapat hadis yang menggalakkan kita untuk berbakti kepada ibu bapa dan juga menghubungkan silaturahim.
Dalam konteks balik kampung berhari raya, ia termasuk dalam suruhan berbuat baik dan ihsan kepada kedua ibu bapa, iaitu menziarahi mereka.
Bagaimanapun, dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19, prosedur ketat perlu diambil kira dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri kerana kita masih belum menang.
Dalam situasi getir sebegini, majoriti masyarakat belum mendapat vaksin secara menyeluruh dan kes jangkitan masih tinggi. Kita perlu berfikir dan bertindak secara kolektif bagi melindungi mereka yang berisiko.
Kita tidak boleh mementingkan diri hanya kerana ingin melunaskan rasa rindu semusim yang mana natijahnya boleh mengakibatkan rasa rindu tidak bernoktah dan berpanjangan akibat kehilangan mereka yang tersayang disebabkan jangkitan Covid-19.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Sesungguhnya pengorbanan ini adalah satu jihad bagi menyelamatkan mereka yang berisiko. Malahan, dalam Islam menolak kerosakan adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan.
Pendek kata, rasa rindu di jiwa ini perlu ditahan dan ditunda untuk kemaslahatan lebih besar. Ini kerana banyak kes kematian dilaporkan akibat jangkitan daripada ahli keluarga rapat.
Pandangan ini tidak popular dan mengundang kecaman ramai tetapi kita perlu rasional, bukan beremosi kerana Hari Raya Aidilfitri tetap berlangsung pada masanya walaupun di mana kita berada.
Pada hari ini, jarak bukanlah halangan utama. Teknologi komunikasi banyak memudahkan urusan dan kehidupan kita. Walaupun kita tidak dapat berkomunikasi secara bersemuka akibat perintah kawalan pergerakan dan tidak dapat balik kampung, kini telah banyak teknologi dan aplikasi yang boleh digunakan sebagai alternatif untuk bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan.
Biar jauh dari segi jaraknya, namun kasih sayang dan ingatan masih lagi dapat dieratkan. Ini kerana menziarahi ibu bapa dan sanak saudara bukan hanya sekali setahun, malahan bertanya khabar dan mengambil berat boleh dilakukan sepanjang masa.
Sedangkan telefon pintar sentiasa bersama kita, tinggal lagi apakah kita telah menghubungi insan tersayang di kampung halaman untuk bertanya khabar?
PROF. MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya