SAUDARA PENGARANG,
NAMPAKNYA apa yang digambarkan oleh Kementerian Kesihatan berkaitan jangkaan peningkatan kes Covid-19 benar-benar berlaku.
Oleh itu, saya ingin berkongsi pandangan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) merancang dan melaksanakan strategi yang komprehensif dengan menutup ruang serapat mungkin supaya tiada peluang bagi pandemik Covid-19 merebak terutama dalam komuniti.
Langkah mengenakan penutupan penuh (total lockdown) perlu dilakukan terutama di lokasi yang mencatat jumlah jangkitan tinggi seperti di Selangor, Sarawak, Kelantan dan Johor. Anggaplah penutupan sepenuhnya tersebut untuk mengawal penularan dan pergerakan penduduk di negeri-negeri tersebut.
Saya tidak menafikan peningkatan kes harian ini disebabkan pengabaian masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika sambutan hari raya dan kelonggaran diberikan kepada pengembara luar yang masuk ke Malaysia. Malah sesetengah SOP masih lagi diabaikan oleh peniaga seperti tiada penjarakan fizikal di dalam premis perniagaan.
Ketika ini, kejujuran masyarakat sangat ditagih supaya mereka tidak menyebarkan virus Covid-19. Sekiranya berasa kurang sihat atau mempunyai simptom, maka elakkan ke pejabat atau kedai atau masjid. Sebaliknya perlu kuarantin kendiri.
Buat sementara waktu, hiduplah dengan cara bersederhana seperti makan minum di rumah dan elakkan kerap mengunjungi restoran dan warung. Elakkan juga pergaulan mesra antara ahli keluarga dan rakan. Kita tidak tahu sama ada diri sendiri membawa virus ataupun orang sekeliling.
Sekiranya dapat mengawal pergerakan, sudah pasti kita akan dapat menjaga diri dan orang lain daripada menjadi mangsa virus pembunuh ini.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang