SAUDARA PENGARANG,
BARU-baru ini, banyak aduan dan keluhan diterima berkenaan kenaikan mendadak harga minyak masak di kebanyakan pasar raya di seluruh negara.
Ia melibatkan harga minyak masak botol 2 kilogram (kg) dan 5kg meningkat kepada RM32 (5kg) berbanding sebelum ini antara RM25 hingga RM28.
Segelintir pembekal memaklumkan kenaikan harga berpunca daripada kenaikan kos kilang pengeluar menyebabkan pemborong turut menaikkan harga. Pemborong juga menyatakan pengilang minyak masak menaikkan harga berikutan peningkatan harga minyak sawit di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Seperti kita maklum, minyak masak bersubsidi sukar diperoleh oleh pengguna kerana stoknya yang terhad. Kerajaan pada dasarnya hanya mengawal harga minyak masak paket 1kg dan tiada kawalan pada minyak masak botol. Harga minyak masak botol 2kg hingga 5kg bergantung sepenuhnya kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia dan kos-kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit seperti operasi, bahan mentah dan pembungkusan.
Justeru, tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menetapkan kembali harga siling bagi minyak masak yang dibotolkan dan dimasukkan dalam senarai harga barangan kawalan supaya rakyat tidak terus terjejas. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga harus menambah kuota kepada minyak masak bersubsidi bagi meringankan beban pengguna.
DR. NURAZILAH ZAINAL
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Felow Institut Kepimpinan & Pembangunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)