SAUDARA PENGARANG,
DALAM suasana negara yang masih dalam belenggu pandemik Covid-19, rumah terbuka semua perayaan pada tahun ini mestilah dielakkan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai peraturan serta syarat ketat perlu dipatuhi.
Masalah penjarakan sosial, berpelukan dan bersalam-salaman akan memburukkan keadaan ketika menghadiri rumah terbuka. Biasalah, apabila sudah ramai, lupa akan peraturan yang telah ditetapkan.
Oleh sebab suasana hari raya masih berbaki, tidak mustahil ada dalam kalangan masyarakat yang masih mahu mengadakan rumah terbuka sama ada secara kecil-kecilan atau sembunyi-sembunyi. Memang sudah ada kes rumah terbuka dianjurkan oleh individu tertentu sebelum ini termasuklah perhimpunan pada hari raya tetapi dapat dikesan.
Sikap tidak bertanggungjawab dan ingkar arahan serta peraturan yang telah ditetapkan perlu dielakkan kerana ia mencabar undang-undang. Ketepikan pelbagai faedah rumah terbuka demi keselamatan dan kebaikan bersama.
Memang sukar mengawal keinginan masyarakat yang hendak beraya bersama keluarga, saudara-mara rakan-rakan serta jiran. Tabiat suka berkumpul beramai-ramai merumitkan keadaan. Tidak boleh dinafikan ada yang tidak boleh atau tidak lalu hendak makan sendirian. Sudah biasa bertepuk bertampar bergurau senda.
Bagaimanapun, untuk tahun ini, kita mestilah bersabar seperti mana tahun lalu. Memang ramai yang terkilan kerana pada tahun lepas, kita masih boleh beraya bersama keluarga tetapi dalam kadar yang tidak ramai tetapi tahun ini tidak boleh beraya langsung. Merentas daerah pun tidak boleh apatah lagi merentas negeri. Menziarahi sanak-saudara pun tidak dibenarkan, bersalam-salaman apatah lagi.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan antara lain menyebut bahawa antara faktor yang menyebabkan pandemik sukar dikawal adalah disebabkan pergerakan dan perhimpunan masyarakat. Perkara ini memang disedari oleh kebanyakan masyarakat kerana ramai yang meminta agar diadakan PKP seperti pada Mac tahun lepas.
Ramai percaya sekiranya perintah kawalan seperti itu diadakan semula, wabak ini dapat dibendung. Bagaimanapun, oleh sebab PKP 1.0 memberi tekanan yang hebat kepada ekonomi dan ramai yang hilang pekerjaan, keraan perlu meyediakan bantuan sewajarnya.
Diharap PKP 3.0 menjadi medan ‘perang’ baharu untuk kita melihat hasilnya sementara orang ramai perlu akur duduk di rumah sekiranya tiada kepentingan di luar.
M. JASNI MAJED
Kapar, Selangor