Bukan semua barisan hadapan - Utusan Malaysia

Bukan semua barisan hadapan

Wartawan adalah golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan perlu divaksinkan segera- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMAKIN ramai yang sedar dan hendak vaksin Covid-19. Buktinya, kesesakan ketika proses pendaftaran vaksin AstraZeneca, baru-baru ini.

Ramai yang menganggap mereka ialah petugas barisan hadapan yang patut mendapat vaksin. Antaranya petugas media dan pekerja restoran.

Pekerja-pekerja di tempat-tempat penting, pejabat-pejabat kerajaan, yang banyak berinteraksi secara langsung dengan orang ramai seperti guru dan petugas di kaunter juga menganggap mereka ialah barisan hadapan.

Kalau kita menilai semula, golongan ini tinggi kesedaran bahawa mereka mempunyai risiko yang sangat tinggi setiap hari ketika melakukan tugas. Ini termasuklah pemandu lori yang menghantar barangan keperluan harian.

Pekedai runcit juga menganggap mereka berisiko tinggi ketika berniaga kerana berurusan dengan orang ramai sepanjang masa dan terdedah kepada jangkitan virus maut berkenaan.

Golongan ini kadang-kadang berasa risau dan takut serta paranoid dari sehari ke sehari kerana mereka tidak boleh bekerja dari rumah.

Laporan harian jangkitan Covid-19 pula semakin memuncak. Kalau tahun lalu kita dengar 100 kes sehari pun sudah gentar, tapi sekarang sudah mencatatkan lebih 8,000 kes sehari. Dan mereka merasakan diri masing-masing ialah petugas barisan hadapan yang sangat penting.

Tapi kita patut sedar bahawa frontliners adalah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan, kakitangan agensi-agensi yang berurusan secara langsung mengendalikan kes jangkitan termasuk membawa dan merawat pesakit Covid-19.

Contoh petugas barisan hadapan ialah jururawat, doktor, petugas di makmal kementerian itu, pemandu ambulans, pemandu bas membawa pesakit Covid-19 dan petugas-petugas jabatan kecemasan hospital kerajaan.

Berdasarkan definisi ini, jelaslah pekerja yang berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 ketika bertugas menemui pelbagai jenis pelanggan atau responden bukanlah petugas barisan hadapan, tapi mereka ialah golongan yang berisiko tinggi.

Di Singapura, golongan berisiko tinggi memang diberi keutamaan juga untuk dicucuk vaksin tetapi mereka tidak dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan. Malah pemandu lori dari Malaysia yang membawa produk keperluan harian turut dimasukkan dalam kategori ini.

Ini kerana jika ada virus dalam badan, mereka boleh menjadi punca penularan kluster baharu di republik itu.

Jika kita faham dan sedar mengenai hal ini, maka kita tidak perlu mementingkan diri sendiri dan sentiasa mendesak-desak menyatakan kita ialah petugas barisan hadapan.

Sebagai golongan berisiko tinggi, kita hendaklah segera mendaftar untuk vaksinasi dan mengharap giliran sampai secepat mungkin.

Pada masa sama, kita tidak boleh mengabaikan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19. Jika kita masih bersikap sambil lewa dan tidak waspada, kita mungkin menjadi punca jangkitan kepada anak-anak, keluarga, ibu bapa, kariah masjid, orang kampung dan jiran malah akan menambah jumlah jangkitan baharu di daerah atau negeri kita sendiri.

Peranan ini sangat besar dan mestilah diutamakan sepanjang masa. Mudah-mudahan kita semua bebas dan terhindar daripada virus maut ini dan pada masa sama mendapat berkat daripada ikhtiar dan amal baik kita.

Marilah kita sama-sama mencegah jangkitan, melindungi diri dan orang disayangi serta menghentikan pandemik yang melanda tanah air kita. Selamat berjuang.

IBRAHIM MD. SYUKRI
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya