Akibat ziarah terlarang, nyawa jadi taruhan - Utusan Malaysia

Akibat ziarah terlarang, nyawa jadi taruhan

ZIARAH raya menjadi punca utama peningkatan kes Covid-19 di negara ini.– GAMBAR HIASAN /UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TEORI kekacauan yang diperkenalkan oleh Edward Lorenz suatu ketika dahulu berkaitan pergerakan seekor rama-rama yang tanpa disedari mengubah hala tiupan angin setiap kali menggerakkan sayapnya sehingga membawa bencana besar ke tempat lain digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

Ia juga menjadi satu metafora yang menunjukkan sesuatu tindakan kecil, mungkin nampak remeh dan tidak bermakna boleh menjadi pemangkin kepada insiden yang lebih besar impaknya.

Ini termasuk perbuatan seperti menziarahi keluarga pada Hari Raya Aidilfitri yang membawa kesan besar kepada masyarakat umum terutama ketika penularan Covid-19 masih melanda negara.

Kluster-kluster baharu akibat kunjungan terlarang ini juga meragut banyak nyawa. Kedegilan anak-anak yang pulang ke kampung menjadi penyebab kematian saudara yang lebih tua. Lebih menyedihkan, ramai kehilangan tempat bergantung dan punca pencarian.

Keadaan buruk ini mengakibatkan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dengan hanya membenarkan sektor-sektor tertentu beroperasi pada kapasiti minimum, selain penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Jumlah kes harian menggerunkan sehingga hampir mencecah 10,000 kes sehari denga kematian lebih 100 sehari. Ini semua tidak berlaku sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perbuatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) menjadi penyebab kepada penyebaran dan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Dalam keadaan hari ini, tindakan mendapatkan vaksin untuk perlindungan diri dan keluarga adalah dituntut malah patut dilakukan oleh semua untuk mencapai imuniti kelompok. Tindakan ini dapat membantu menghentikan penyebaran jangkitan Covid-19, seterusnya menurunkan kadar kes harian.

Pada masa pandemik ini, kita patut memikirkan sama ada usaha yang dilakukan selama ini sudah mencukupi untuk menangani jangkitan. Kita juga harus memikirkan bagaimana dapat membantu kerajaan, masyarakat dan individu yang terkesan akibat pandemik ini. Cetusan persoalan ini mungkin boleh membawa kita berfikir lebih jauh dan membawa kepada kemakmuran.

Kesimpulannya, kerjasama semua lapisan masyarakat amatlah penting pada masa pandemik. Jika bersandarkan teori kesan rama-rama, kita akan faham bahawa melakukan perkara betul pada masa sesuai akan mengelakkan kejadian tidak diingini.

PROF. MADYA DR. MOHD. DZULKHAIRI MOHD. RANI & DR. ZAHRAH TAWIL
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya