Wanita hadapi cabaran BDR - Utusan Malaysia

Wanita hadapi cabaran BDR

SEORANG wanita bekerjaya perlu melakukan pelbagai kerja dalam satu masa ketika BDR sehingga boleh mengganggu emosi dan keletihan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Dewasa ini, penggunaan istilah Bekerja Dari Rumah (BDR) semakin meluas dalam kalangan pekerja sektor kerajaan dan swasta.

Pelaksanaan BDR tidak asing di negara-negara Barat yang mempunyai teknologi dan akses pencapaian internet yang tinggi seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan lebih 50 buah negara lain. Berbeza dengan di Malaysia, pelaksanaan BDR masih lagi di tahap permulaan. Norma baharu ini dilihat agak sukar diadaptasi oleh sebilangan organisasi terutama yang terlibat dalam sektor pembinaan, perladangan, pertanian, pengangkutan dan beberapa sektor tidak rasmi.

Walaupun BDR dilihat sebagai alternatif terbaik dalam memastikan keseimbangan dan kesinambungan tugasan tanpa perlu ke pejabat, namun mutu kerja perlu berada pada tahap yang optimum.

Pelaksanaan BDR menjadikan wanita terbeban sehingga tugasan menjadi berganda. Rutin keluarga yang biasanya dilakukan sebelum dan selepas waktu bekerja terpaksa dipikul dalam tempoh yang lebih panjang. Cabaran ini diluahkan oleh sebilangan wanita melalui media sosial.

Banyak perkara perlu dilakukan dalam satu masa seperti memantau kelas dalam talian anak, memasak dan memastikan urusan rumah tangga selesai di samping tugasan pejabat dilaksanakan dengan baik. Bagi wanita yang masih menyusukan anak pula berhadapan dengan konflik dan gangguan emosi.

Fokus tenaga kerja juga berkemungkinan terganggu ekoran perubahan drastik dalam persekitaran kerja yang mengurangkan motivasi dan keseronokan bekerja. Emosi yang terganggu berupaya menurunkan semangat bekerja. Ini secara tidak langsung memberi kesan besar ke atas mutu kerja yang dihasilkan.

Kelengkapan kerja yang tidak mencukupi juga menjadi antara kekangan seperti tiada komputer, internet atau mesin pencetak di rumah. Dengan pelaksanaan BDR, keadaan ini menyukarkan mereka melakukan tugasan rasmi pejabat. Keadaan lebih rumit sekiranya perlu berkongsi telefon bimbit bersama anak yang sedang menjalani kelas dalam talian.

Sungguhpun begitu, masih ramai yang berpendapat bahawa BDR perlu diteruskan kerana jadual kerja yang fleksibel membolehkan tenaga kerja wanita melakukan urusan rasmi pejabat pada bila-bila masa selain meningkatkan kesungguhan dalam bekerja kerana lebih dekat dengan keluarga.

Menyedari cabaran BDR dalam kalangan tenaga kerja wanita, kerajaan turut mengambil beberapa inisiatif menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menangani masalah ini.

DR. SHARFIZIE MOHD. SHARIP
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya