SAUDARA PENGARANG,
SURUHANJAYA Pilihan Raya beberapa kali didesak untuk mempercepatkan kelulusan bagi membenarkan rakyat yang berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan persidangan Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada Julai 2019.
Namun demikian, ia masih menjadi persoalan dalam kalangan rakyat sama ada langkah menurunkan had umur pengundi adalah untuk kepentingan negara atau hanya politik semata-mata.
Terdapat pendapat mengatakan rakyat yang berumur 18 tahun tidak begitu matang untuk memilih pemimpin kerana dikhuatiri akan mengundi mengikut emosi berbanding menggunakan akal fikiran.
Jika perkara itu berlaku akan menyebabkan mereka memilih pemimpin yang tidak menepati keperluan sebenar negara. Natijahnya akan berlaku rusuhan sepanjang masa seperti mana berlaku di luar negara.
Oleh yang demikian, kerajaan dan SPR perlu meneliti perkara ini secara mendalam sebelum ia diluluskan. Diharapkan tindakan yang dibuat perlu berdasarkan kepentingan negara dan bukannya atas dasar kepentingan politik bagi satu-satu pihak tertentu.
Kita tidak mahu sampai nasi menjadi bubur kerana untuk mengubahnya kembali akan mengambil masa.
RAKYAT PRIHATIN
Kuala Lumpur