SAUDARA PENGARANG,
PERINTAH mengeluarkan zakat sangat jelas kerana ia merupakan Rukun Islam yang wajib dilakukan dan dikerjakan oleh umat Islam.
Tujuan utama ibadat zakat ialah untuk membantu umat Islam yang memerlukan pertolongan. Dengan cara ini, semua golongan manusia dapat merasai nikmat kurniaan Allah SWT yang penting dalam hubungan individu dengan Allah dan sesama manusia.
Kini perkhidmatan bayaran zakat boleh dilakukan secara dalam talian bagi memudahkan pembayaran zakat harta dan zakat fitrah. Ia merupakan kaedah yang paling cepat, mudah dan selamat terutama dalam mengekang penularan Covid-19. Pembayaran zakat boleh dilakukan melalui perbankan internet (FPX) menerusi portal-portal zakat setiap negeri serta melalui aplikasi seperti GoPayZ, SnapNPay dan Jom Pay.
Selain itu, mereka yang menunaikan zakat pendapatan boleh mendapat pelepasan cukai melalui Akta Cukai Pendapatan.
Seseorang yang membayar zakat akan sentiasa mendapat nikmat sama ada di dunia dan akhirat seperti ayat al-Quran yang bermaksud: “Ada pun orang yang (suka)memberi (sedekah atau zakat) dan bertakwa serta percaya kepada perkara yang baik (dan pahala di syurga) maka Kami akan memudahkan baginya jalan yang mudah (yang akan membawa kejayaan dunia dan akhirat).”
Semoga dengan menunaikan zakat harta dan zakat fitrah akan melengkapkan Rukun Islam seseorang dengan sempurna. Mari bersama-sama menghayati tuntutan Rukun Islam yang sangat penting demi kesejahteraan dunia dan akhirat.
MOHD. YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak