SAUDARA PENGARANG,
ANTARA 1920 hingga 1970, ribuan empangan hidroelektrik dibina di Amerika Utara dan Eropah kerana dikatakan mempunyai banyak kelebihan termasuk menjana tenaga elektrik, menyediakan sumber bekalan air mentah dan berperanan mengawal banjir.
Namun, selepas itu empangan besar tidak lagi dibina di negara maju kerana tapak terbaik untuk pembinaan infrastruktur sedemikian sudah dibangunkan dan kos terlalu tinggi. Paling penting, masalah alam sekitar dan sosial yang timbul akibat pembinaan empangan hidroelektrik menyebabkan ia tidak lagi dibina.
Menurut satu kajian pada 2018, banyak empangan hidroelektrik berskala besar di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) telah membawa bencana kepada alam sekitar. Masalah sama berulang iaitu gangguan ekologi sungai akibat penebangan hutan, kehilangan keanekaragaman hidup akuatik dan darat, melepaskan gas rumah hijau dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.
Sejak 1970, sumbangan hidroelektrik bagi menjana tenaga elektrik AS terus merosot kepada 6.1 peratus dan sumber tenaga lain seperti nuklear, gas, arang batu, suria dan angin mula menggantikannya. Empangan diruntuhkan dan tiada lagi yang dibina telah menjadi kebiasaan di Amerika Utara dan Eropah.
Malahan, kajian Akademi Sains Nasional AS mendapati puluhan empangan di Eropah dan AS diruntuhkan setiap tahun kerana dianggap berbahaya dan tidak berbaloi dari segi ekonomi untuk dikekalkan.
Kajian juga menyatakan kebimbangan projek yang dianggap tidak mampan (tidak mampu mengekalkan prestasi yang baik) sedang dirancang untuk dibina di Afrika dan Asia.
Ironinya, ketika Barat telah berputus asa membina empangan hidroelektrik baharu dan meruntuhkan yang sedia ada, ada negara termasuk Malaysia merancang untuk membinanya.
Dalam pada itu, kerajaan digesa memberi tumpuan membina empangan untuk projek tebatan banjir yang tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
Di Kelantan, oleh kerana tanah rendah, Sungai Kelantan secara berkala membanjiri tebingnya dari November hingga Februari ketika musim monsun timur laut.
Menjalankan projek tebatan banjir melalui pendalaman Sungai Kelantan dengan menggunakan kapal korek akan memastikan aliran air yang lancar. Beberapa bahagian sungai yang berliku yang mencegah aliran air dengan pantas mesti diluruskan.
Selain itu, tebing sungai perlu dinaikkan ke paras lebih tinggi agar air di musim banjir dapat dibendung dan tidak melimpah ke tebingnya. Atau yang lebih baik lagi, sebuah empangan di setiap tebing sungai dapat dibina untuk tujuan tersebut.
Empangan ini akan dibina setelah projek pendalaman Sungai Kelantan berakhir dan ia tidak akan melibatkan perpindahan ribuan penduduk serta pembanjiran kawasan hutan seperti empangan hidroelektrik.
Projek tebatan banjir ini akan mewujudkan ‘tanah baharu’ di tebing sungai yang sangat sesuai untuk membina ladang solar canggih menghasilkan lebih 300 megawatt tenaga elektrik di tebing sungai dan dibina lebuh raya empat lorong di sebelah satu lagi tebing.
JAMARI MOHTAR
Pengarah Media & Komunikasi di EMIR Research