SAUDARA PENGARANG,
BANYAK sudah yang diperkatakan mengenai kejayaan Presiden Indonesia, Joko Widodo membangunkan ekonomi republik itu sehingga ada pihak meramalkan ia akan mencapai status negara maju terlebih dahulu dari Malaysia.
Pandangan pihak berkenaan mungkin ada benarnya jika dilihat ketika Malaysia membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Indonesia pula rancak membina projek HSR yang pertama di Asia Tenggara apabila siap pada tahun depan.
Projek Kereta Cepat Indonesia (KCID) Jakarta-Bandung yang sedang dalam fasa pembangunan itu bakal memiliki landasan sepanjang 142.3 kilometer yang membolehkan kelajuan perjalanan sehingga 350 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 45 minit berbanding tiga jam jika menggunakan perkhidmatan kereta api biasa.
Projek yang dibina oleh syarikat PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) akan mengunakan gerabak kereta api peluru dari China, CR400AF.
Dalam perkembangan lain, walaupun Malaysia telah lama mewujudkan Cyberjaya sejak 1997 bagi meniru Lembah Silikon di California, Amerika Syarikat yang menempatkan syarikat yang dikhaskan untuk teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bandar itu kini berada dalam situasi tidak memberangsangkan.
Setelah 24 tahun, jumlah syarikat yang beroperasi di situ bukannya semakin bertambah sebaliknya berkurangan. Cyberjaya juga dilihat lebih terarah menjadi tempat menjual produk bumiputera dan menempatkan institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja, jauh menyimpang daripada tujuan asal membangunkan ICT.
Baru-baru ini, IBM mengumumkan akan menutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya bermula hujung bulan ini.
Langkah itu melibatkan 1,000 orang yang akan kehilangan pekerjaan dan menyebabkan Malaysia tidak boleh lagi memanfaatkan kepakaran IBM dalam kecerdasan buatan dan membangunkan masyarakat berasaskan pengetahuan.
IBM antara syarikat teknologi pertama yang melabur di Cyberjaya apabila Koridor Raya Multimedia (MSC) dilancarkan pada pertengahan 1990-an dengan anggaran pelaburan yang sepatutnya dibawa masuk sebanyak RM1 bilion.
Ia bukanlah syarikat multinasional pertama yang keluar dari Cyberjaya sebaliknya syarikat ICT Jerman, T-Systems, sebelum ini dilaporkan media massa telah menjual perniagaannya di situ.
Ketika Cyberjaya semakin malap, Indonesia pula sedang rancak membangunkan beberapa kawasan mirip Lembah Silikon. Antaranya kawasan yang dinamakan Bukit Algoritma di Cikidang, Sukabumi, Jawa Barat.
Bukit Algoritma akan dibangun di atas tanah seluas 888 hektar dengan tumpuan kepada bidang ICT dan teknologi berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan pelaburan syarikat-syarikat dari Jerman.
SANG BEDAL
Kuala Lumpur