SAUDARA PENGARANG,
JANGAN terkejut jika saya dedahkan, ada pentadbir surau di negara ini yang menggunakan taktik diamalkan pada ‘zaman penjajahan Jepun’ untuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika Ramadan, baru-baru ini.
Mereka menganjurkan majlis tadarus al-Quran dan jamuan raya dalam gelap dengan hanya menggunakan cahaya lilin semata-mata bagi mengelak dikesan pasukan polis yang melakukan rondaan.
Mengikut SOP, moreh atau jamuan di surau dibolehkan dengan syarat penyediaannya secara bungkus manakala bufet atau hidangan di atas meja tidak dibenarkan. Aktiviti tadarus al-Quran dan tazkirah ketika solat sunat tarawih tidak dibenarkan.
Setakat ini, maklumat yang saya dapat hanya membabitkan pelanggaran SOP oleh pihak surau manakala semua masjid mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Tindakan pihak pengurusan surau terbabit yang bertujuan memastikan ramai jemaah dapat terlibat dalam majlis yang diadakan adalah sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan penularan kluster surau di seluruh negara.
Sama-samalah kita tunggu dan lihat, adakah perbuatan melanggar SOP itu akan menimbulkan bencana besar kepada negara seperti kes perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Jika tidak wujud kluster surau, nampaknya kita sangat bernasib baik. Namun, perbuatan itu tidak harus dijadikan amalan kerana kita tidak selama-lamanya akan bernasib baik.
SUKA TEROPONG
Sungai Petani, Kedah