Salahkan umat Islam sendiri - Utusan Malaysia

Salahkan umat Islam sendiri

SELAGI umat Islam tidak bersatu, jangan mimpi Islam akan kuat dan nasib rakyat Palestin bakal terbela. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAMPAI bila rakyat Palestin akan dibuli bagaikan hamba abdi, malahan lebih teruk lagi ada yang diseksa dan dibunuh begitu sahaja. Mangsa bukan sahaja lelaki dewasa tetapi termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kehidupan seharian mereka sangat susah apabila makanan dicatu manakala bekalan air dan elektrik sangat terhad. Pergerakan mereka sentiasa diawasi oleh pasukan keselamatan Israel yang melayan penduduk bagaikan penjenayah.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja penduduk Palestin ditangkap dan ada yang tidak diketahui nasib mereka sama ada hidup ataupun mati setelah dimasukkan ke dalam penjara.

Walaupun dunia Islam bersimpati dengan nasib mereka termasuk memberikan bantuan wang bagi membina rumah, sekolah dan hospital tetapi ia tidak kekal kerana dirobohkan oleh rejim Israel.

Ramai rakyat Palestin turut dibunuh oleh tentera rejim dan masyarakat dunia termasuk negara-negara Islam yang pro-Amerika Syarikat hanya mengambil sikap berdiam diri.

Setelah askar Israel puas berpesta membunuh rakyat Palestin, barulah ‘sandiwara’ bermula dengan masyarakat dunia meminta dihentikan pembunuhan dan sudah tentu yang dipersalahkan ialah rakyat Palestin yang dituduh sebagai pengganas.

Kita tidak tahu apa sebenarnya fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dikatakan ditubuh khusus untuk membela nasib umat Islam.

Cukup dikesalkan, ada negara Islam yang berjiran dengan Palestin menjadi tali barut Israel. Di hadapan rakyat Palestin, mereka menunjukkan simpati dengan menghulurkan bantuan tetapi di belakang, membantu puak Yahudi melakukan kekejaman.

Selagi umat Islam tidak bersatu, jangan mimpi Islam akan kuat dan nasib rakyat Palestin bakal terbela.

Jangan salahkan sesiapa tetapi salahkan umat Islam itu sendiri yang tidak mahu kembali kepada ajaran al-Quran yang mahu mereka bersatu dan membantu antara satu sama lain.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya