SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN kes Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan secara mendadak sejak mutakhir ini dan diramal boleh mencecah sehingga 8,000 kes sehari pada Julai nanti.
Ini amat membimbangkan masyarakat, apatah lagi dengan kewujudan kluster baharu dan varian ganas seperti dari Afrika Selatan dan India yang kini menular ke negara kita.
Kita tidak nampak keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak beberapa bulan lalu, walhal beberapa aspek pelaksanaannya semakin diperketatkan.
Hasilnya bukan sahaja gagal membendung atau meratakan keluk untuk beberapa hari atau minggu, tetapi wujud pula kluster baharu seperti tempat kerja, keagamaan, pendidikan dan komuniti.
Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan hendaklah mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutama kepada warga emas yang mencatat jumlah kematian tertinggi.
Ketika ini negara berhadapan dengan kegawatan kesihatan dan ekonomi yang mana kesihatan hendaklah didahulukan sebelum memikirkan kesan ekonomi. Justeru, pemberian vaksin hendaklah didahulukan dan diutamakan memandangkan ada dalam kalangan masyarakat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun denda yang tinggi dikenakan.
Walaupun SOP diperketatkan dan kawalan pergerakan rentas daerah serta negeri dibuat, namun kadar jangkitan tidak dapat dibendung sebaliknya semakin merebak.
Kita tidak mahu semakin banyak kehilangan nyawa disebabkan virus ini kerana kelewatan mendapatkan suntikan vaksin walaupun mempunyai tenaga kerja dan kemudahan kesihatan bertaraf dunia.
Rakyat perlu ingat bahawa kita masih belum menang berperang dengan virus Covid-19 dan jadilah rakyat yang bertanggungjawab kepada diri sendiri serta orang ramai.
Pada masa sama, kita juga mahu segera kembali kepada kehidupan seperti sediakala tanpa rasa takut terhadap pandemik ini.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang