Mansuh UPSR langkah berani - Utusan Malaysia

Mansuh UPSR langkah berani

KEPUTUSAN UPSR sebenarnya tidaklah memberi kesan dalam menentukan masa depan seseorang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mengucapkan syabas kepada Kementerian Pendidikan kerana mengambil langkah berani memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sebagai bekas guru, saya bersetuju dengan keputusan berkenaan yang pastinya dibuat selepas dilakukan penelitian mendalam dan terperinci serta mengambil kira pandangan semua pemegang taruh melalui sesi libat urus menyeluruh.

Saya percaya, kementerian itu sudah mengkaji dan meneliti secara holistik pelaksanaan peperiksaan terbabit, termasuk mengambil kira amalan terbaik sistem pentaksiran sekolah rendah di pelbagai negara seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland.

Walaupun UPSR dimansuhkan, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian mempunyai sistem pentaksiran untuk menilai kelayakan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh. Ia terbukti berjaya kerana sudah digunakan bagi pengambilan sesi 2021 selepas pembatalan peperiksaan itu pada 2020.

Secara peribadi, saya telah melihat sendiri kesan peperiksaan itu kepada sesetengah murid dan ibu bapa, bagaimana perasaan mereka apabila mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan.

Ketika rakan-rakan lain yang cemerlang diraikan pihak sekolah atau diwawancara oleh media, mereka mengasingkan diri. Lebih malang lagi apabila ibu bapa sendiri tidak memberikan sokongan untuk mengembalikan moral anak-anak yang jatuh merudum hanya kerana keputusan buruk UPSR.

Keputusan UPSR sebenarnya tidaklah memberi kesan dalam menentukan masa depan seseorang. Saya mengenali bekas pelajar yang cemerlang di universiti walaupun tiada satu A diperoleh mereka dalam peperiksaan itu.

Sebaik-baiknya berilah peluang kepada anak-anak di sekolah rendah menyuburkan daya kreativiti mereka dan memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran berbanding sebelum ini hanya memberi penekanan kepada peperiksaan awam.

MOHD. HILMI ABDUL LATIFF
Dungun, Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya