SAUDARA PENGARANG,
KEADAAN sesak luar biasa di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (Karak) dari arah Pantai Timur baru-baru ini amat luar biasa.
Ini kerana pengguna jalan raya perlu mengambil masa lebih dua jam sebelum sampai ke Plaza Tol Gombak yang jaraknya kira-kira empat kilometer (km) sahaja.
Sekiranya melibatkan musim perayaan, tidaklah kami terperanjat, namun situasi ini berlaku ketika negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekiranya melibatkan sekatan jalan raya oleh polis, ia sudah diduga dan boleh diterima dengan hati terbuka.
Saya beranggapan keadaan jalan sesak tersebut berpunca daripada susunan kon plastik yang menutup satu lorong untuk tujuan pemeriksaan polis, sedangkan pada hari kejadian sebanyak empat lorong dibuka bagi tujuan tersebut. Keadaan ini membentuk bottle neck. Kenderaan terpaksa berebut-rebut untuk masuk ke dua lorong yang dibuka pada jarak 400 meter sebelum tol.
Tindakan menutup lorong ketika jalan sesak amat tidak wajar. Sepatutnya kesemua lorong dibuka dan wujudkan lorong tambahan di lorong kecemasan jika sesuai.
Tindakan tidak bijak ini mungkin berpunca daripada kurangnya jalinan kerjasama antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi tol. Ini sekali gus memperlihatkan negara ini mempunyai mentaliti dan pengurusan kelas ketiga sedangkan Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur kelas pertama.
Oleh itu, LLM dan pengendali lebuh raya perlu melihat perkara ini dan merancang membina lebuh raya baharu sebagai pilihan selain Lebuh Raya Karak.
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur