SAUDARA PENGARANG,
RAMAI yang bertanya, kenapa kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang diperuntukkan untuk kegunaan generasi masa depan bagi melawan pandemik Covid-19?
Pada pandangan saya, dalam keadaan krisis kesihatan luar biasa, apa-apa juga sumber kewangan yang sah patut digunakan kerajaan untuk menyelamatkan nyawa rakyat.
KWAN adalah dana yang sah di sisi undang-undang dan ia adalah simpanan wang yang tersedia untuk digunakan pada masa kritikal. Jadi, tidak perlu isu ini dipolitikkan sementara rakyat resah mahu diselamatkan.
Malah, ada pula pengkritik yang menyarankan kerajaan meminjam sumber lain selain daripada menggunakan KWAN. Bukankah ini akan mengakibatkan hutang negara lebih tinggi?
Dana yang dikumpul dalam KWAN bukan hasil cukai dikenakan terhadap rakyat, sebaliknya penyumbang terbesar adalah Petroliam Nasional Berhad (Petronas), malah syarikat atau orang perseorangan juga boleh membuat sumbangan.
Diurus dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan generasi akan datang terus terpelihara dan mendapat manfaat bila sumber hasil bumi negara berkurangan.
Itu matlamat KWAN ketika ia ditubuhkan 33 tahun lalu. Kini, nampaknya kitalah generasi ‘masa depan’ yang disebut-sebutkan dalam akta penubuhan KWAN.
Adakah menjadi satu kesalahan besar untuk kerajaan menggunakan dana itu bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat hari ini? Kerajaan perlu bertindak pantas dan menggunakan apa sahaja kemampuan kewangan yang ada untuk memastikan sistem kesihatan negara tidak menjadi kritikal seperti India dan Brazil.
Jika krisis pandemik ini masih belum ‘cukup syarat’ untuk dana KWAN digunakan, agaknya sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya.
MOHD. AZMI ADNAN
Salak Tinggi, Selangor