SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI tahun lalu, Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia pada 28 April baru-baru ini disambut dalam suasana berbeza akibat penularan virus Covid-19.
Walaupun tiada sambutan besar-besaran pada kali ini, ia tidak bermakna kita perlu melupakan isu pokok atau mesej yang ingin dibawa melalui sambutan itu iaitu pihak-pihak yang berada di tempat kerja perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan diri masing-masing.
Oleh itu, adalah penting untuk para pekerja mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 seperti arahan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Sikap ambil mudah terhadap aspek pematuhan SOP tidak boleh dibiarkan berlaku. Antara langkah yang boleh diambil oleh majikan adalah melaksanakan sepenuhnya sistem waktu kerja anjal atau fleksibel dengan memberi kebenaran kepada pekerja mereka melakukan tugas dari rumah, tidak kira sama ada terdapat arahan rasmi daripada kerajaan atau tidak.
Majikan juga harus mengunakan segala kemudahan teknologi sedia ada bagi menjalankan mesyuarat, bengkel, seminar, kursus dan aktiviti pekerjaan lain secara dalam talian bagi mengelakkan risiko jangkitan virus Covid-19.
Perlu diketahui, tanggungjawab menjaga dan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja termaktub di bawah Seksyen 15 (1) & (2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Kegagalan majikan untuk mematuhi peruntukan itu boleh menyebabkan mereka didenda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)