SAUDARA PENGARANG,
PENYEDIAAN infrastruktur pengangkutan kepada rakyat amat disanjung, namun tidak selenggara dengan baik kerana masih terdapat banyak kerosakan.
Perkara sama berlaku di sepanjang jajaran laluan utama Lebuh Raya Pontian di Johor Bahru. Terdapat banyak lubang di sepanjang lebuh raya itu.
Selain masalah tersebut, terdapat banyak kawasan terbenam disebabkan tanah ‘keluar’ ke permukaan yang mengakibatkan permukaan jalan menjadi tidak rata dan bertebing. Keadaan itu amat berbahaya kepada penunggang motosikal dan kereta kerana lekuk tanah itu menghasilkan lubang yang melebar.
Sementara itu, terdapat kawasan aliran ‘mata air’ yang menyebabkan jalan sentiasa basah dan bertakung. Akhirnya jalan menjadi becak dan berlumpur akibat tekanan kenderaan berat.
Sebagai rakyat, kami telah menjalankan tanggungjawab dengan menjadi prihatin apabila menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, namun hasil penyelengaraan seperti melepaskan batuk di tangga. Ini bermakna kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan dengan sempurna dan tidak bertahan lama. Ada kala hari ini dibaiki, esok sudah kembali rosak.
Ia sekali gus menjadi persoalan mengenai piawaian yang digunakan oleh kontraktor bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Sehingga hari ini, tiada pegawai JKR yang memberi justifikasi mengenai perkara ini.
ZULKIFILI BAKAR
Taman Pulai Indah, Johor